AM

Penduduk Tongod Anggap STR 'Penyelamat'

30/01/2025 10:08 AM

Oleh Khatijah Jistoh

TONGOD, 30 Jan (Bernama) -- Penduduk di Tongod, daerah yang dikenali sebagai daerah paling miskin di Malaysia, melihat bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebagai 'penyelamat' yang memberikan peluang untuk bertahan sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang paling memerlukan.

Tongod mencatat kadar kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia iaitu 5.9 peratus berdasarkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIS) 2022 oleh Jabatan Perangkaan.

Ibu tunggal dari Kampung Tongod, Jolleta Salim, 45, berkongsi bahawa STR membantu menampung kos rawatan dua anaknya berusia 15 dan 20 tahun yang menghidap talasemia dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, terletak 190 kilometer dari Tongod.

Bantuan itu katanya menjadi 'penyokong' penting dalam menempuh hidup sebagai ketua keluarga dan membiayai lima anaknya dengan latar ekonomi yang semakin mencabar.

“STR memberi manfaat kepada semua penduduk di daerah Tongod terutamanya yang kurang berkemampuan. Selain kos rawatan, saya guna STR untuk menampung perbelanjaan sekolah dan barang dapur,” katanya kepada Bernama.

Seorang petani dari Kampung Kiliwatong, Morven Janal, 44, pula berharap kerajaan meneruskan STR yang disifatkan cukup besar ertinya kepada penduduk di luar bandar terutama mereka yang tidak berpendapatan tetap sepertinya.

Beliau yang menghidap penyakit resdung sejak empat tahun lepas menggunakan duit bantuan STR untuk menampung kos rawatan termasuk perjalanan ke hospital yang melebihi RM100 setiap kali janji temu dengan pakar di hospital sama. 

“Saya berjimat dengan duit STR ini, selain untuk kos kesihatan, bantuan ini juga menampung keperluan keluarga termasuk persekolahan lima anak,” katanya.

Suri rumah dari Kampung Sanan Entilibon di sini, Patrisiah Lumin, 44, berkata banyak faedah diperoleh daripada STR, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang membantu menampung kos rawatan kesihatan serta pendidikan lima anaknya.

“Pendapatan keluarga hanya bergantung kepada hasil bertani suami. Dengan bantuan ini kami mampu beli buku, pakaian sekolah anak dan menampung kos rawatan darah tinggi dan kencing manis saya,” katanya.

Patrisiah juga berharap bantuan STR mahupun SARA diteruskan setiap tahun kerana bantuan itu penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan keluarga.

Beliau juga mencadangkan agar inisiatif kerajaan yang lain seperti program Jualan Rahmah MADANI diperluas ke Tongod untuk meringankan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Pegawai Pembangunan Masyarakat di Tongod Kamrin Satah berkata terdapat 1,082 penerima STR di daerah Tongod dengan 502 penerima diberikan baucar secara tunai manakala 580 penerima dibayar menerusi akaun bank.

“Pemberian STR ini menepati sasaran kerana penerima sedia ada merasakan ia dapat meringankan beban mereka, terutamanya yang mempunyai tanggungan ramai,” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah berkata bantuan STR merupakan inisiatif penting untuk golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata selain meneruskan inisiatif bantuan seperti STR, kerajaan juga diharap dapat memperkenalkan program-program lain untuk membantu meningkatkan pendapatan masyarakat Tangod, memandangkan majoriti penduduk di daerah itu memiliki kebun yang berpotensi untuk dimanfaatkan secara optimum.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan