KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Semua Ahli Parlimen perlu terus mengamalkan budaya politik yang matang, beretika dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas mereka, seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata titah Seri Paduka Baginda merupakan peringatan yang bermakna kepada semua wakil rakyat untuk menjadikan Parlimen sebagai medan perbahasan yang sihat dan konstruktif, serta bukannya tempat pertelingkahan yang memecah-belahkan rakyat.
“Parlimen harus menjadi platform demokrasi yang memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua Ahli Parlimen perlu menjadikan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong sebagai pedoman dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti, amanah dan dedikasi demi kepentingan rakyat serta negara.
Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini, hari ini mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bahawa Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah.
Seri Paduka Baginda bertitah Parlimen adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
Selain itu, Johari menyeru Ahli Parlimen agar memainkan peranan aktif dalam diplomasi serantau bagi mengukuhkan kedudukan negara di peringkat antarabangsa seperti yang dititahkan oleh Sultan Ibrahim selaras peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Sempena kepengerusian Malaysia dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Johari berkata peranan Malaysia adalah penting dalam memastikan hubungan antara Parlimen negara-negara ASEAN terus diperkukuh.
“Sebagai Pengerusi AIPA, Parlimen Malaysia akan menerajui agenda kerjasama serantau yang lebih progresif dan memastikan suara Parlimen ASEAN terus relevan dalam menangani cabaran global,” katanya.
Katanya diplomasi Parlimen harus digerakkan secara aktif untuk mengukuhkan hubungan serantau serta mempromosikan kestabilan, keamanan dan kemakmuran ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial