AM

Lima Program Sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia - Aaron

04/02/2025 03:33 PM

PUTRAJAYA, 4 Feb (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan mengadakan lima program utama sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia yang disambut pada minggu pertama Februari setiap tahun, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata program berkenaan ialah Jejak Harmoni Metasemeta pada 14 hingga 16 Feb, Perarakan Harmoni (15 dan 16 Feb), Program Jejak Harmoni (15 Feb), Dialog Harmoni (16 Feb) dan Mesyuarat Jawatankuasa Harmoni pada 19 Feb.

“Semua program ini adalah sebagai langkah untuk menyemarakkan sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia. KPN akan terus memberikan fokus kepada inisiatif bagi memperkukuh keharmonian antara agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia atau World Interfaith Harmony Week (WIHW) yang merupakan acara tahunan, telah diiktiraf dalam resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Okt 2010.

Aaron berkata keharmonian antara penganut agama merupakan tonggak penting, dalam usaha kerajaan mewujudkan negara yang sejahtera kerana semangat itu tidak hadir secara sendiri, sebaliknya memerlukan usaha berterusan daripada setiap lapisan masyarakat terutamanya pemimpin agama.

“Usaha ini bagi memastikan prinsip toleransi dan saling hormat menghormati dapat ditegakkan dalam kehidupan seharian. Kita perlu memastikan perbezaan agama tidak menjadi penghalang kepada hubungan baik antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata keharmonian tidak boleh dicapai sekiranya sikap toleransi hanya diamalkan secara pasif, kerana ia memerlukan komitmen aktif bagi membina hubungan yang kukuh antara komuniti agama agar semua lapisan masyarakat dapat hidup dalam suasana harmoni.

Sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’, Aaron berkata rakyat Malaysia perlu bekerjasama memperkukuh ikatan antara agama, etnik dan budaya kerana rakyat negara ini mempunyai tanggungjawab sebagai ejen perubahan dalam membina Malaysia MADANI yang aman, damai dan sejahtera.

“Faham, Hormat dan Terima adalah nilai yang perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat, bagi memastikan negara kita terus menjadi contoh kepada dunia tentang bagaimana kepelbagaian agama serta budaya boleh digabungkan untuk mencipta satu negara yang benar-benar harmoni,” katanya.

Aaron turut mencadangkan agar lebih banyak forum antara agama dianjurkan di pelbagai peringkat melibatkan tokoh agama, akademik, pemimpin masyarakat serta golongan muda, kerana sesi seumpama itu penting untuk memecahkan tembok prasangka yang wujud akibat tidak ketahuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan