AM

Guna Teknologi MOCN Untuk Tingkat Liputan 4G - Teo

05/02/2025 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan memfokuskan usaha untuk memperbaiki kestabilan liputan 4G di kawasan yang kurang mendapat liputan internet melalui teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN), demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata walaupun secara purata liputan 4G bagi kawasan berpenduduk di negara ini sudah melebihi 97 peratus, namun peratusan liputan oleh setiap syarikat telekomunikasi adalah berbeza.

“Kita mendapati liputan 4G bagi setiap syarikat adalah berbeza iaitu Celcom pada kadar 94 peratus, Digi (95 peratus), Maxis (98 peratus), U-Mobile (82 peratus) dan TM (Telekom Malaysia) sebanyak 80 peratus...ini faktor yang kita mahu atasi pada tahun ini.

“Kita mahu menggalakkan syarikat telco ini memastikan bagi kawasan yang tiada liputan 4G, mereka akan menggunakan teknologi MOCN untuk kongsi infrastruktur ini untuk pastikan semua pengguna tidak kira menggunakan perkhidmatan dari syarikat telco yang mana, boleh menikmati 4G yang stabil,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang ingin tahu bagaimana kerajaan akan memastikan liputan 4G tidak diabaikan susulan penggunaan 5G.

MOCN ialah teknologi pemancar yang membolehkan keempat-empat penyedia perkhidmatan di negara ini menggunakan hanya satu set peralatan untuk memberikan perkhidmatan 4G.

Sementara itu, menjawab soalan asal Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar), Teo berkata sehingga 31 Dis lepas, Digital Nasional Berhad (DNB) telah membina sebanyak 7,485 tapak pemancar 5G yang menyediakan 82.4 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara.

Bagi Perlis, beliau berkata keseluruhan 44 tapak 5G seperti yang dirancang, telah siap dibina dan menyediakan 91.4 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk.

“Meskipun kebanyakan penduduk setempat masih menggunakan peranti 4G, 90 peratus liputan 5G di kawasan penduduk di Perlis menunjukkan ketersediaan liputan 5G yang luas, sekali gus memberikan kebaikan kepada pengguna peranti 4G yang bercadang beralih kepada peranti 5G.

“Walau bagaimanapun, peralihan kepada peranti 5G bergantung sepenuhnya kepada keperluan pengguna dan pakej atau pelan 5G yang ditawarkan oleh pihak penyedia perkhidmatan,” katanya.

Rushdan dalam soalannya meminta kementerian menyatakan penanda aras yang digunakan dalam mengisytiharkan bahawa kebanyakan tempat di Perlis telah melebihi 90 peratus capaian 5G ketimbang kebanyakan penduduk setempat masih lagi menggunakan peranti 4G.

Teo berkata penanda aras yang digunakan DNB bagi mendapatkan liputan 5G di kawasan berpenduduk adalah berdasarkan bilangan infrastruktur dan ketersediaan isyarat 5G di kawasan yang disasarkan.

“Penanda aras ini tidak bergantung kepada jenis peranti yang digunakan oleh penduduk setempat kerana perkara tersebut adalah faktor di luar kawalan DNB dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata antara faktor utama yang menjadi asas pengukuran termasuklah liputan rangkaian 5G, ketersediaan infrastruktur serta kelajuan dan kapasiti rangkaian. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan