AM

MoU Pengurusan Bencana Malaysia, Turkiye Indikasi Kepakaran Negara Dipandang Tinggi

12/02/2025 09:05 PM

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Malaysia dan Turkiye dalam bidang pengurusan bencana dan kecemasan memberi indikasi bahawa kepakaran pengurusan bencana negara dipandang tinggi oleh republik itu.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata MoU tersebut dijayakan hasil perbincangan susulan kehadiran Pasukan MyTeam Relief membantu kerajaan Turkiye semasa bencana gempa bumi di Gaziantep pada 6 Feb 2023.

“Bertitik tolak daripada misi bantuan kemanusiaan dan bencana tersebut, NADMA telah mengadakan perbincangan mengenai potensi kerjasama yang boleh dijalinkan dalam bidang pengurusan bencana dengan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Kementerian Dalam Negeri Turkiye,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Shahril berkata MoU tersebut kemudian dimeterai susulan perbincangan berhubung kemajuan hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) semasa lawatan rasmi dua hari Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia yang berakhir semalam. 

Mengulas lanjut, beliau berkata antara bidang kerjasama yang dipersetujui melalui MoU itu ialah penganjuran program latihan berkaitan bidang pengurusan bencana dan kecemasan serta bantuan bersama dalam kejadian bencana dan kecemasan.

Selain itu, ia turut merangkumi pertukaran pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pengurusan bencana dan kecemasan serta bantuan lain yang berkaitan dengan pengurusan bencana yang dipersetujui secara bersama.

“Melalui MoU ini, diharapkan kerjasama, komitmen dan kebersamaan kedua-dua negara dalam membentuk dan memperkukuhkan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

MoU tersebut adalah antara 11 MoU yang ditukar antara Malaysia dan Turkiye bagi memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai sektor bersempena lawatan rasmi Erdogan.

Pertukaran kesemua dokumen itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Erdogan, meliputi bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan dan kolaborasi media.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan