BANGI, 14 Feb (Bernama) -- German-Malaysian Institute (GMI) mencatat peningkatan pendapatan sebanyak RM45.3 juta bagi tahun 2024, didorong oleh permintaan tinggi dalam bidang teknologi maklumat.
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Azhar Abdul Manaf berkata selain perkembangan pendapatan yang positif, kawalan kos dan langkah penjimatan turut menyumbang kepada lonjakan keuntungan sebelum cukai sebanyak 207 peratus.
“GMI terus mengukuhkan reputasinya dengan pembukaan Pusat Bahasa Jerman serta menyerlahkan kejayaan dalam Persidangan Majlis Penasihat Industri (IAC) 2024, yang berjaya memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan industri di syarikat terkemuka seperti Siemens dan Bosch.
“Susulan kejayaan ini, GMI menerima pengiktirafan ABMS ISO 37001:2016 dan dinaik taraf sebagai GMI University College of Applied Science (GMI-UcAS),” katanya ketika menghadiri majlis di GMI hari ini.
Azhar berkongsi kejayaan itu dalam Majlis Amanat Ketua Pengarah MARA Bersama Warga Kerja GMI Bangi, yang dihadiri 250 peserta.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif GMI Ahmad Solihin Mohamed Yusoff, serta barisan pengurusan dan subsidiari MARA.
Dalam sesi amanatnya, beliau menekankan bahawa kejayaan menguruskan organisasi terhasil daripada kebebasan yang diberikan kepada warga kerja dalam berkarya, yang telah membawa banyak pembaharuan kepada MARA.
Beliau berharap MARA terus bergerak maju dengan berani bagi mencapai kecemerlangan dan menjadikannya sebuah organisasi unggul yang dibanggakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial