AM

500 Pelajar Di Behrang Terima Bantuan Kelengkapan Persekolahan

14/02/2025 05:59 PM

TANJONG MALIM, 14 Feb (Bernama) -- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Perak menyediakan bantuan kelengkapan persekolahan bernilai RM87,500 kepada 500 pelajar di sekitar Behrang hari ini. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata program Sentuhan Kasih MADANI Jom Ke Sekolah 2025 itu turut mendapat kerjasama dan tajaan Yayasan Taqwa-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). 

Beliau berkata bantuan itu bukti Kerajaan MADANI komited membantu rakyat yang memerlukan, khususnya golongan berpendapatan rendah atau B40. 

"Insentif itu diharap dapat memberi manfaat kepada mereka untuk membeli kelengkapan sekolah seperti baju, kasut, dan beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing. 

"Bantuan kelengkapan persekolahan bernilai RM175 seorang itu telah diberikan kepada 500 pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Behrang melibatkan peruntukan berjumlah RM87,500," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan program itu di Dewan Muallim Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang di sini.

Zulkifli berkata pihaknya berharap bantuan itu sekurang-kurangnya dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk menjalani sesi persekolahan baru sama seperti mereka yang lain.

"Semoga sumbangan ini dapat mempertingkatkan minat pelajar ke sekolah selain menjadi pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperoleh keputusan cemerlang.

"Selepas Temerloh, Kuala Pilah, Batang Kali, dan Behrang, program ini akan diteruskan ke Port Dickson pula dengan sasaran semua penyerahan selesai sebelum sesi persekolahan 2025 bermula Isnin ini," katanya. 

Zulkifli dalam rangka jelajah Ziarah MADANI dan Program Jom Kembali ke Sekolah di beberapa buah negeri antaranya Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.

Beliau berkata bantuan itu juga sebagai bonus kepada keluarga yang terlibat dan ia tambahan kepada Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diberikan Januari lepas. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan