KOTA KINABALU, 14 Feb (Bernama) -- Langkah kerajaan melakukan pelarasan semula harga lantai belian padi pada kadar RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa Ahad ini, memberi semangat kepada pesawah di Sabah untuk menghasilkan lebih banyak padi serta beras berbanding sebelum ini.
Raiman Sondiro, 52, yang mengusahakan kira-kira 1.61 hektar sawah di Kota Belud berkata sebelum ini dia amat terkesan dengan peningkatan kos tanaman terutama baja dan racun sehingga merasakan usaha menanam padi tidak begitu berbaloi kerana keuntungan yang diperoleh amat sedikit.
“Memang ada baja dan racun yang kerajaan bagi, itulah yang kami boleh harapkan untuk beri sedikit keuntungan dan semangat untuk terus menanam (padi), tetapi apabila kerajaan umum pelarasan harga lantai belian padi ini, pendapatan saya boleh bertambah hingga RM4,000,” katanya yang berketurunan etnik Dusun.
Seorang lagi pesawah di Kota Belud, Mohd Jaafar Latif, 45, berkata pengumuman kerajaan semalam menguatkan semangatnya untuk memperluas kawasan tanaman padi yang diusahakan berbanding hanya 1.21 hektar daripada keseluruhan 2.83 hektar yang dimilikinya.
“Saya tidak tanam semua (tidak luaskan kawasan tanaman) kerana (margin) untung yang tidak begitu besar, bila harga jual lebih mahal barulah berbaloi kita perluas kawasan. Dengan pengumuman ini, untuk menggajikan tenaga kerja pun kita mampu kerana dapat mengupah mereka dengan pendapatan lebih tinggi,” katanya.
Mohd Jaafar yang merupakan generasi ketiga keluarga pesawah berkata tanaman padi amat bermakna dalam kehidupan rakyat Sabah sehinggakan ada sambutan Kaamatan bagi meraikan pesta menuai padi.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri berkata Sabah terpaksa mengimport kira-kira 70 peratus keperluan berasnya dari luar dan berikutan itu, Sabah berhasrat meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras kepada 60 peratus menjelang 2030.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kerajaan melakukan pelarasan semula harga lantai belian padi itu kerana prihatin dengan keluh-kesah rakyat terutama pesawah dan pemain industri.
Semalam Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pelarasan semula harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik, selain mengekalkan harga beras putih tempatan pada RM2.60 sekilogram (kg) dengan kerajaan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial