AM

RM1.84 Bilion Diperuntuk Untuk Projek Pembangunan Di Terengganu Tahun Ini - ICU JPM

15/02/2025 04:33 PM

MARANG, 15 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) meluluskan peruntukan RM1.84 bilion bagi pelaksanaan 402 projek pembangunan di Terengganu tahun ini.

Ketua Pengarah ICU JPM Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi berkata peruntukan di bawah Program/Projek Pembangunan Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu termasuk bagi pelaksanaan tujuh projek baharu bernilai RM78.15 juta di daerah Marang.

Beliau berkata antara projek berkenaan ialah kerja awalan pembinaan sebuah kolej matrikulasi, pembinaan dua bengkel kemahiran serta kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai serta perolehan tanah bagi pembinaan Kampus Politeknik Kuala Terengganu.

"Projek lain termasuk yang sedang dalam pembinaan iaitu menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang di laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan dijadual siap pada 21 Feb 2026.

"Ketika ini kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan dengan kemajuan  fizikal di tapak sekitar 49.61 peratus. Projek ini dijangka dapat menyuraikan masalah trafik di bandar Marang terutama pada cuti sekolah," katanya ketika berucap pada Karnival Santuni MADANI Pekan Bukit Payong, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan 200 bakul makanan, 200 komputer riba, lapan motosikal dan keperluan persekolahan kepada penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

Selain itu, Nik Nasarudin berkata ICU JPM juga telah meluluskan peruntukan RM30 juta bagi meneruskan program Sejati MADANI di Terengganu.

Menurut beliau pada tahun lepas, sebanyak 615 projek komuniti di bawah program Sejati MADANI telah diluluskan dengan jumlah peruntukan RM60 juta di negeri ini.

Beliau berkata kesemua projek yang diluluskan pada tahun lepas kini dalam fasa pelaksanaan dan diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat apabila siap kelak.

"Untuk peruntukan tahun ini, semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) boleh memohon dengan menyediakan cadangan projek yang berdaya maju.

"Setiap JPKK akan diberi peruntukan RM100,000 untuk pelaksanaan projek tempoh lima tahun," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan