AM

Bas Terbabas Ke Dalam Gaung, 24 Penumpang Terselamat

19/02/2025 09:29 PM

IPOH, 19 Feb (Bernama) -- Tiga individu cedera dalam kemalangan membabitkan bas dan lori di kilometer (KM) 392 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara petang tadi, menyebabkan bas itu terbabas ke dalam gaung. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mereka yang cedera ialah pemandu dan kelindan bas serta pekerja penyelenggaraan jalan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.27 petang dan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim serta Slim River dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan bas penumpang membawa 24 pekerja warga asing dan lori penyelenggaraan jalan.

“Dua mangsa telah dibawa ke hospital oleh orang awam manakala seorang lagi dihantar Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke Hospital Slim River,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua penumpang bas termasuk seorang lagi kelindan dan pemandu lori serta kelindannya tidak cedera dalam kejadian itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan