AM

UDA Sumbang 13 Unit Smart TV Kepada SK Raja Dihilir Ekram

20/02/2025 03:18 PM

IPOH, 20 Feb (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) menyalurkan sebanyak 13 unit televisyen pintar (Smart TV) kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Dihilir Ekram di sini, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sumbangan bernilai RM22,100 itu diserahkan kepada sekolah berkenaan yang merupakan sekolah angkat kepada Pengerusi UDA Tan Sri Mohd Annuar Zaini di bawah program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni MADANI).

Kesemua Smart TV berukuran 55 inci itu ditempatkan di 10 bilik darjah merangkumi kelas prasekolah, kelas aliran perdana, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi dan tiga bilik khusus termasuk kelas Program Pemulihan Khas, bilik mesyuarat dan pusat sumber sekolah berkenaan.

Mohd Annuar berkata sumbangan itu merupakan komitmen UDA sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu individu dilantik sebagai pengerusi atau ketua pegawai eksekutif sesebuah organisasi menyediakan peruntukan untuk mana-mana sekolah dalam menambah baik ekosistem pendidikan dalam negara.

"Kita disarankan menyediakan peruntukan membantu apa-apa projek untuk memanfaatkan sekolah. Saya sendiri memilih sekolah ini sebagai anak angkat selagi saya Pengerusi UDA, saya akan menyediakan peruntukan sebagai CSR.

"Apabila UDA mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah, mereka meminta Smart TV sebab ia merupakan satu daripada instrumen pendidikan terkini untuk membangunkan minat pelajar dalam kaedah pembelajaran yang lebih berteknologi," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Annuar berkata UDA dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perak sedang membangunkan projek tanaman hidroponik di sekolah berkenaan bagi menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar tentang pentingnya subjek keterjaminan makanan.

"Selain itu, ia dapat membimbing pelajar menanam minat untuk membudayakan diri dan terlibat dalam kegiatan penghasilan makanan, menyahut seruan negara untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan meminimumkan import bahan makanan," katanya.

Mohd Annuar berkata usaha itu selari dengan komitmen UDA dalam mendukung aspirasi kelestarian dengan memfokuskan aktiviti sosial dan ekonomi komuniti setempat selaras prinsip penjenamaan baharu UDA iaitu "L.I.F.E." atau Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasakan).

Bagi menyemarakkan pembangunan sukan tempatan, katanya UDA bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri dan Yayasan Perak untuk mengenal pasti bakat serta memperkasakan pembangunan sukan boling dalam kalangan murid asnaf di sekitar Ipoh.

"Langkah ini juga merupakan tanda sokongan UDA kepada usahawan tempatan yang menjalankan perniagaan di kompleks beli-belah milik UDA iaitu Lite Superbowl JB9, Angsana Ipoh Mall seterusnya merancakkan lagi ekonomi setempat dan industri sukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Annuar berkata UDA akan terus memperkukuh komitmen CSR UDA Cares: Back To School 2025 yang memberi manfaat kepada 502 pelajar memerlukan di Johor Bahru, Johor; Sandakan, Sabah dan Lanchang, Pahang yang diadakan baru-baru ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan