KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Industri media Malaysia mencipta sejarah apabila Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.
Rang undang-undang bagi penubuhan MMM itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 18 Ahli Parlimen.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua berkata cadangan penubuhan satu jawatankuasa atau organisasi bagi menyelaraskan urus tadbir industri media di Malaysia telah dicetuskan sejak 1973.
Namun, beliau berkata penubuhan MMM hanya dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan diluluskan pada 6 Dis 2019, sebelum mesyuarat kick-off penubuhan majlis itu diadakan pada 16 Jan 2020, dipengerusikan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
“Sejak awal 2023, sesi perbincangan antara Kementerian Komunikasi dengan Jawatankuasa Protem MMM telah giat dijalankan secara berkala,” katanya.
Teo berkata melalui penubuhan MMM, kerajaan yakin ruang semak dan imbang boleh dilaksanakan pemain industri media sendiri bagi meningkatkan amalan integriti dan pematuhan etika.
Beliau berkata antara cabaran dihadapi industri media ketika ini ialah ketiadaan kod etika pelaporan yang standard untuk diguna pakai semua pengamal media di Malaysia.
Menurut Teo, sekiranya orang awam merasa terjejas dengan pelaporan yang dibuat pengamal media, mereka tidak mempunyai platform untuk membuat aduan dan tiada mekanisme penyelesaian melalui proses perundangan sedia ada di mahkamah.
Justeru, katanya penubuhan MMM dapat menentukan standard berkaitan media, mewujudkan medium komunikasi antara orang awam, media atau akhbar dan juga kerajaan, serta menjadi sebuah badan yang memudah cara aduan yang diterima.
“Kerajaan pada hari ini merasakan sudah tiba masanya untuk menubuhkan satu badan bagi menyelaraskan tadbir urus media di Malaysia yang diterajui industri media sendiri. Penubuhan MMM dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan dapat mewujudkan satu kod etika yang dapat digunakan secara menyeluruh oleh semua pihak,” katanya.
Menerusi RUU itu, MMM turut berperanan menyelaras perkara berkaitan latihan, pembangunan kapasiti dan pembangunan profesional wartawan dan pertubuhan media selain menguruskan dan menyenggara pangkalan data yang mengandungi maklumat pengamal media dan pengamal media bebas untuk pembangunan berterusan industri media dan kewartawanan.
Ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan, Teo berkata peruntukan dua wakil kerajaan dalam Lembaga MMM dibuat memandangkan ia sebuah badan yang ditubuhkan melalui undang-undang kerajaan dan dipertanggungjawabkan di bawah Kementerian Komunikasi.
“Anggota yang dilantik mewakili kerajaan ini hendaklah dalam kalangan orang yang terlibat dalam industri media, maksudnya orang yang akan menjadi wakil kerajaan dalam lembaga ini kemungkinan besar datang daripada RTM ataupun Bernama.
“Sekiranya mereka juga pengamal media, saya rasa ada kebaikan mereka duduk dalam Lembaga MMM,” katanya.
Teo berkata RUU itu turut menjadi perintis dalam memperkukuh kedudukan wanita yang menetapkan bahawa setiap kategori ahli Lembaga mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil wanita.
Selain itu, RUU berkenaan menetapkan setiap kategori ahli harus merangkumi sekurang-kurangnya seorang wakil dari Sabah atau Sarawak, di samping wakil tambahan yang akan dilantik bagi memastikan keseimbangan dari segi jantina, lokaliti serta kepelbagaian media berdasarkan bahasa dan format.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial