AM

Video Promosi VM2026 Dikemas Kini Setiap Suku Tahun 

26/02/2025 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Video promosi Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) akan dikemas kini setiap suku tahun bagi memastikan ia relevan dengan tarikan pelancongan terkini di seluruh negara.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing berkata bagi tujuan itu, Tourism Malaysia dan pihak produksi yang terlibat diminta meneruskan kerjasama dengan semua negeri untuk menambah baik video promosi dari semasa ke semasa.

“Setiap suku tahun kita akan minta naik taraf video (kerana) kemungkinan ada destinasi baharu atau pakej baharu (yang ditawarkan), jadi kita akan minta naik taraf.

“(Pembikinan video) ini sudah lama sejak tahun lepas…kita mahu tonjolkan yang Malaysia mengalu-alukan semua, dan kita mempunyai banyak destinasi serta pakej pelancongan menarik sebagai pilihan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran video promosi VM2026 berdurasi 35 minit, di Pavillion hari ini.

Tiong juga berharap pembikinan video promosi berkenaan tidak dipolitikkan dan menyatakan kesediaan untuk mengambil sebarang komen positif daripada semua pihak dalam membantu memperkasakan industri pelancongan negara. 

Terdahulu, dalam ucapan pelancaran yang dibacakan oleh Ketua Pengarah Tourism Datuk P Manoharan, Tiong berkata semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan sektor pelancongan terus berkembang, menarik lebih ramai pelancong, serta membawa limpahan ekonomi berterusan untuk negara.

“Kejayaan VM2026 bukan hanya bergantung kepada video promosi semata-mata. Sokongan berterusan serta penyertaan aktif daripada semua pihak - pemain industri pelancongan, sektor swasta dan seluruh rakyat Malaysia amat diperlukan. 

“Saya menyeru agar kita bersama-sama menjadi duta pelancongan negara, memastikan setiap pelancong yang datang ke Malaysia membawa pulang pengalaman indah, serta berkongsi keunikan negara kita dengan dunia,” katanya yang mengalu-alukan kerjasama rakan media serta penggiat industri untuk membantu menyebarluaskan video promosi ini di platform masing-masing.

Sebelum ini, Tiong ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat menjelaskan kos keseluruhan video promosi VM2026 adalah sebanyak RM1.9 juta melibatkan pengumpulan 200 video pendek dan melalui tender terbuka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan