KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pengumuman dividen Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2024 dengan kadar 6.30 peratus mengukuhkan keyakinan kira-kira 16 juta pencarum seluruh negara bahawa simpanan mereka selamat dan berkembang dengan baik.
Kadar pulangan dividen tertinggi sejak 2017 bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah itu juga menggambarkan usaha berterusan KWSP menjaga kepentingan pencarum.
Rata-rata pencarum menzahirkan rasa syukur selain menyifatkan pulangan dividen itu rezeki menjelang Ramadan, sekali gus membantu meningkatkan jumlah simpanan masa tua mereka.
Di PUTRAJAYA, eksekutif pemasaran Johari Omar, 40, berkata walaupun pengumuman itu satu berita gembira buatnya, beliau tidak bercadang membuat pengeluaran sebaliknya disimpan untuk manfaat pada masa hadapan.
“Pengumuman dividen ini adalah satu berita gembira untuk pencarum, simpanan ini perlu dikekalkan dan tidak dibawa keluar bagi memastikan simpanan pada hari tua mencukupi,” katanya
Pemandu bas perantara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 Nordiana Ariffin, 44, menyifatkan kenaikan kadar dividen itu ibarat ‘bulan jatuh ke riba’ kerana tidak membayangkan jangkaan dividen beberapa pengguna media sosial adalah tepat.
“Kenaikan dividen 2024 ini jauh lebih baik berbanding 2023 iaitu 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus Simpanan Shariah. Tiada perkataan dapat saya kongsikan cuma rasa amat bersyukur. Alhamdulillah,” katanya.
KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.
Jumlah keseluruhan agihan bagi 2024 adalah RM73.24 bilion.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam media sosial beliau berkata pencapaian KWSP ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan MADANI yang mesra pertumbuhan dan pelabur, disokong reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
Sementara itu, di SABAH, pekerja swasta Gilmor Estban, 46, berkata bukan sahaja kenaikan dividen KWSP ini membantu menambah simpanannya yang pernah dikeluarkan ketika krisis COVID-19, malah ia memberi motivasi untuk meningkatkan lagi carumannya.
Bagi suri rumah, Masniah Mahap, 48, pula, beliau bersyukur kerana simpanannya di KWSP bertambah tahun ini dan berharap prestasi kewangan dan pelaburan KWSP terus mengukuh untuk tahun mendatang.
Di MELAKA, kadar pulangan dividen itu memberi motivasi kepada Nor Izzati Rahmat, 36, untuk terus menyimpan dan mencarum dengan KWSP sebagai tabungan masa hadapan.
“Sejak mula bekerja dan mencarum dalam KWSP pada 2016, saya tidak pernah 'kacau' dividen atau simpanan dalam mana-mana akaun KWSP kerana memikirkan kepentingannya menjelang hari tua nanti atau ketika kecemasan,” katanya.
Bagi penjawat awam Azry Zamri, 34, dari Alor Setar, KEDAH pula, beliau merancang menggunakan hasil dividen sebagai simpanan masa depan selain tujuan pelaburan alternatif bagi menjana lebih banyak pendapatan untuk tempoh jangka panjang.
Di PERAK, pekerja kilang Muhamad Arman Saad, 38, berkata peningkatan dividen KWSP itu membantu menambah jumlah simpanannya yang berkurangan selepas membuat beberapa kali pengeluaran ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Sementara itu, seorang pekerja penghantar makanan di PAHANG, Sameerjeet Singh, 23, berkata kadar dividen KWSP itu amat dinantikan dan membantunya memperkemaskan lagi perancangan simpanan hari tua.
“Saya memang sentiasa tunggu setiap kali pengumuman dividen dan apabila dapat tahu kadar dividen KWSP kali ini, memang agak terkejut sebab sangat tinggi. Biarpun boleh bawa keluar melalui akaun fleksibel, tetapi saya tidak pernah terniat mengeluarkan wang simpanan itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial