AM

Mantan Timbalan Naib Canselor USM Tan Sri Dr Kamal Salih Meninggal Dunia

06/03/2025 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Dr Kamal Salih meninggal dunia hari ini, di kediamannya di Southville City di Dengkil, Selangor.

Perkara itu disahkan rakan terdekat Allahyarham, Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya (UM) Datuk Prof Ulung Dr Rajah Rasiah yang juga ahli jawatankuasa International Connectivity Conference and Expo yang dipengerusikan Allahyarham.

Rajah berkata beliau menerima panggilan memaklumkan pemergian Allahyarham pada 10.30 pagi.

“Beliau sangat hebat, seorang ahli akademik cemerlang dan ahli ekonomi yang bijak. Agak mengejutkan mendengar pemergian Allahyarham,” katanya kepada Bernama hari ini.

Seorang lagi sahabat Allahyarham, Pengarah GSATT Sdn Bhd Sadasivan Sivaji turut menyatakan rasa terkejut atas pemergian arwah. 

“Saya baru bertemu Tan Sri minggu lepas. Beliau masih begitu bersemangat dengan tugas dan ideanya. Sumbangan beliau terhadap bidang akademik serta ekonomi akan sentiasa dikenang,” katanya. 

Jenazah Allahyarham difahamkan disolatkan di Masjid Raudhatul Jannah selepas solat Asar hari ini dan dikebumikan di tanah perkuburan di Kampung Sungai Buah, Dengkil.

Allahyarham, 78, merupakan mantan profesor dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM serta tokoh akademik dan ekonomi banyak berjasa kepada negara, termasuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Dasar USM.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli Panel Ekonomi Perdana Menteri dari 1981 hingga 1986, dan menganggotai Majlis Perniagaan Malaysia dari 1991 hingga 1996.

Selain itu, beliau turut memainkan peranan sebagai Rapporteur-General bagi Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN1) dari 1989 hingga 1991 yang bertanggungjawab merangka dasar pembangunan ekonomi negara.

Antara sumbangan terbesar beliau dalam sektor pendidikan ialah penubuhan Kolej Perubatan Swasta pertama di Malaysia, International Medical University (IMU) pada 1992.

Beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif IMU sehingga 2004, menjadikannya antara pemimpin utama dalam pembangunan pendidikan perubatan swasta di negara ini.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju dari 1996 hingga 1999 dan menubuhkan Yayasan Wangsa Maju kini dikenali sebagai Yayasan Mahkota.

Dalam pentadbiran negara, beliau turut dilantik sebagai penasihat ekonomi dalam Pasukan Petugas Pelaksanaan Nasional (NITF) semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2006 hingga 2008.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan