PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 (Akta 730) untuk mengenal pasti pihak bertindak membuat perihal dagang palsu mengenai kandungan, jenis dan pelabelan beras.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara itu termasuk kesalahan melakukan penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras yang boleh mengelirukan pengguna.
Beliau berkata KPDN akan merujuk kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam perkara itu, selain mengukuhkan kerjasama strategik dengan Jabatan Kimia Malaysia.
"Dalam menguatkuasakan Akta 730 ini, analisis sampel beras adalah aspek amat penting bagi menentukan beras putih import (BPI) dan beras putih tempatan (BPT).
"Mengambil kira MARDI kini mempunyai kepakaran melalui teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras, KPDN merujuk MARDI sebagai pihak berwibawa," katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini.
Armizan berkata perkara itu diputuskan selepas mengadakan pertemuan bersama MARDI hari ini, untuk mendengar taklimat berkaitan dapatan kajian isu percampuran BPI dengan BPT di pasaran.
Selain itu beliau berkata KPDN sedang memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan berkaitan isu campuran beras.
Armizan berkata SOP siasatan itu merangkumi seluruh aspek termasuk pengurusan ekshibit sampel beras dan kebolehterimaan barang bukti di mahkamah.
"KPDN komited untuk melaksanakan penguatkuasaan bagi menangani isu beras campuran secara tidak sah melalui kesalahan membuat perihal dagangan palsu.
“Ini bertujuan melindungi kepentingan pengguna dan sekali gus membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam agenda menambah baik industri padi dan beras negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial