AM

PM Anwar Seru Semua Pihak Jadi Ejen Perpaduan, Satukan Rakyat Pelbagai Kaum

12/03/2025 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama menjadi ejen perpaduan dan membantu usaha Kerajaan MADANI menyatukan seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, agama, kaum dan bangsa.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata mesej itu disampaikan Perdana Menteri ketika menghadiri Majlis Iftar Bersama Pengamal Media di Angkasapuri malam tadi.

“Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri telah bertemu trio DJ Era FM, di mana Perdana Menteri memberi nasihat kepada mereka dan berpesan sentiasa membawa mesej perpaduan dalam tugasan harian mereka. Alhamdulillah, mesej Perdana Menteri bukan saja menjurus kepada mereka, namun kepada semua pihak.

“Perdana Menteri juga berharap rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dapat menoktahkan isu perpecahan dan terus bergerak ke hadapan bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta negara sentiasa terpelihara, selain mengamalkan sikap saling menghormati,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Tunku Nashrul turut menyampaikan penghargaan Perdana Menteri kepada mana-mana pihak yang telah menghentikan sebarang unsur negatif atau cubaan untuk mengeruhkan lagi keadaan.

Sementara itu, mengenai perbezaan hukuman dan kompaun yang dikenakan terhadap isu yang sama, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjelaskan perkara tersebut sekali lagi.

“Perdana Menteri ingin tegaskan bahawa semua pihak perlu memahami perubahan akta dan undang-undang yang telah diluluskan sebelum ini, hatta berlakunya perbezaan hukuman dan kompaun yang dikenakan.

“Sebarang tanggapan atau perkongsian maklumat tidak tepat akan hal ini, akan hanya mencetuskan persepsi tidak sihat tatkala kita semua dituntut untuk terus menyemai benih keharmonian dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri hari ini turut mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri dan sebarang keputusan atau hasil perbincangan akan dimaklumkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, petang ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan