AM

Bekalan Barangan Keperluan Di Labuan Stabil Menjelang Aidilfitri - KPDN

12/03/2025 09:27 PM

LABUAN, 12 Mac (Bernama) -- Bekalan barangan keperluan di Labuan kekal stabil walaupun pemintaan meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Labuan Junaidah Arbain memberi jaminan kepada orang ramai bahawa barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung boleh didapati dalam kuantiti mencukupi.

Beliau berkata laporan mingguan dihantar pemborong secara konsisten menunjukkan tahap stok yang stabil dan saluran pengedaran berkesan.

“Pegawai penguat kuasa kami mengadakan pemeriksaan berkala di pasar raya dan pasar raya besar untuk memastikan ketersediaan barangan keperluan ini. Kami membuat pemeriksaan seperti di Bataras Hypermarket dan pemborong gula Saza Rice untuk memastikan bekalan stok.

“Pemeriksaan mengesahkan bahawa bekalan kekal mencukupi, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap kemungkinan kekurangan stok semasa musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di Bataras Hypermarket di sini hari ini.

Junaidah menggesa masyarakat untuk kekal tenang dan mengelak daripada melakukan pembelian panik, serta menambah kementerian memantau situasi tersebut dengan teliti.

Beliau juga mengingatkan peruncit dan pengusaha kedai runcit untuk mematuhi peraturan dan mengelak daripada menyorok barangan keperluan kerana tindakan itu boleh mengganggu kestabilan pasaran.

“Kementerian akan meneruskan usaha penguatkuasaan bagi mencegah manipulasi harga dan memastikan akses adil kepada barangan keperluan untuk semua pengguna. Sebarang insiden menyorok atau penetapan harga tidak beretika boleh dilaporkan kepada KPDN untuk tindakan segera,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan