AM

Kelantan Ambil Alih Projek KB Sentral Selepas Rundingan Dengan Perak Transit Gagal

12/03/2025 05:05 PM

KOTA BHARU, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan Kelantan memutuskan untuk mengambil alih projek pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) selepas rundingan dengan Perak Transit gagal mencapai kata sepakat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kekangan masa dalam menyiapkan projek berkenaan.

“Kita telah berunding dengan Perak Transit, tetapi berdepan beberapa kekangan, termasuk permintaan mereka yang tidak dapat dipenuhi. Rundingan terakhir berlangsung minggu lalu, dan hari ini kita putuskan kerajaan akan mengambil alih projek ini.

“Kita mahu KB Sentral disiapkan seiring dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana ia perlu beroperasi bersama. Oleh itu, kita tidak boleh menunggu lebih lama,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut merancang menambah beberapa elemen baharu dalam projek berkenaan dan optimis ia dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun seperti yang ditetapkan.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri memberikan kata dua kepada Perak Transit, sama ada meneruskan projek KB Sentral mengikut syarat yang ditetapkan atau melepaskan tanggungjawab tersebut.

Antara syarat utama adalah melantik China Communications Construction Company, Ltd sebagai kontraktor utama, memandangkan syarikat itu mempunyai rekod baik dalam pelaksanaan projek ECRL.

Sementara itu, Mohamed Fadzli memaklumkan kerajaan negeri melantik Exco Antara Kaum yang disandang Zamakhshari Muhamad, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, bagi meneliti isu kebajikan Orang Asli di negeri ini.

“Kami sedar bahawa Orang Asli sudah mempunyai jabatan khusus, iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), namun mereka tetap sebahagian daripada rakyat Kelantan, dan kebajikan mereka perlu diberi perhatian. Kami berharap mendapat kerjasama baik daripada JAKOA dalam usaha ini,” katanya.

– BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan