AM

KDN Kaji Model Perjanjian Antarabangsa Selesai Isu Pencerobohan Nelayan Vietnam

12/03/2025 09:24 PM

PELABUHAN KLANG, 12 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji model kerjasama antarabangsa melibatkan eksplorasi hasil laut sebagai antara usaha menyelesaikan isu pencerobohan oleh nelayan Vietnam di perairan negara.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata inisiatif itu tercetus hasil pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Vietnam Luong Cuong baru-baru ini yang bersetuju untuk menyelesaikan isu terbabit dengan situasi menang-menang. 

Beliau berkata antara model kerjasama yang diteliti ialah antara Kesatuan Eropah dan Maghribi bagi mengatasi kemasukan jumlah nelayan laut dalam Vietnam ke wilayah perairan  negara yang terlalu besar.

"Sepanyol antara negara yang memanfaatkan perjanjian tersebut. Jadi itu antara model yang kami sedang teliti dari segi operasi bersama mengikut undang-undang dan peraturan serta segala aspek yang berkaitan," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Khas Pagar Laut dan Majlis Berbuka Puasa bersama warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di Pusat Hidrografi Negara di sini hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata perkara itu juga sedang diteliti secara bersama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai pihak yang mengetuai usaha untuk menyelesaikan isu berkenaan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan