AM

Ismail Sabri Sambung Beri Keterangan Jumaat - Azam

13/03/2025 05:50 PM

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan kembali menyambung memberi keterangan kepada SPRM pagi esok.

“Ya (akan dipanggil semula), 9 pagi esok,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu tiba di ibu pejabat SPRM di sini pada 9.46 pagi dan selepas hampir lima jam memberi keterangan, beliau dilihat meninggalkan pejabat itu pada 3.13 petang, serta menyatakan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sehingga siasatan membabitkannya selesai.

Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safe house susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Wang tunai itu dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya baht, riyal, paun sterling, won, euro, Franc Swiss dan yuan, manakala 16 kilogram jongkong emas tulen yang turut disita dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan