AM

Seorang Maut, Tujuh Cedera Dalam Kemalangan Babitkan Dua Kereta Di Pekan

30/12/2024 03:43 PM

KUANTAN, 30 Dis (Bernama) -- Seorang maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di KM 37 Jalan Kuantan-Segamat, semalam. 

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kemalangan pada kira-kira pukul 8.15 malam itu mengakibatkan Nur Ezyyantie Aliakbar, 30, yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Temai, Pekan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Beliau berkata kemalangan berlaku apabila sebuah Honda HR-V dinaiki empat sekeluarga dari Kuantan menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan, berlanggar dengan kereta Myvi dinaiki arwah bersama suami dan dua anaknya, yang dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan.

“Siasatan awal mendapati ketika di tempat kejadian, HR-V berkenaan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Myvi terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Zaidi berkata suami Nur Ezyyantie dan dua anak perempuannya mengalami kecederaan parah, dan kesemua mereka, termasuk empat sekeluarga yang menaiki HRV yang tercedera dalam kejadian, kini dirawat Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan