AM

NRES Siasat Dakwaan Tanah Pusaka Dijual Pihak Tidak Dikenali - Nik Nazmi

20/01/2025 09:07 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menyiasat dakwaan sebuah keluarga mengalami kerugian kira-kira RM500,000 apabila tanah pusaka diwarisi mereka dijual pihak tidak dikenali, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata NRES memandang serius perkara berkenaan dan akan memastikan mana-mana pihak yang didapati bersalah dikenakan tindakan berlandaskan undang-undang.

“Kita akan melihat secara spesifik kerana ini bukan isu baharu (dan) sebenarnya isu (ini) telah menular begitu lama... ada juga (dakwaan) melibatkan pejabat tanah di peringkat negeri dan daerah.

“Kita di peringkat Persekutuan memandang serius (perkara ini) dan pastikan tindakan diambil bagi memastikan integriti sistem tanah negara dapat dipelihara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Akademi Hijau bersama Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah media hari ini, berhubung dakwaan seorang pewaris bahawa tanah pusaka bapanya di Sungai Merab, Dengkil, Selangor dijual pihak tidak dikenali dipercayai berpunca daripada perubahan milikan.

Selain itu, Nik Nazmi berkata kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan platform digital dikenali e-Tanah bagi membolehkan pelbagai urusan pentadbiran tanah dilakukan secara dalam talian serta meminimumkan aktiviti penipuan.

“Sistem e-Tanah diuruskan secara digital maka ia dapat membantu meminimumkan kes penipuan. Kalau dulu (urusan tanah) pakai fail (dan) boleh palsukan tanda tangan, tapi sekarang pakai sistem yang agak sukar untuk ada elemen penipuan,” katanya.

Nik Nazmi berkata e-Tanah kini telah digunakan di beberapa Pejabat Tanah dan Galian negeri dan akan diperluaskan ke seluruh Semenanjung.

“Sistem ini dapat mengurangkan campur tangan manusia dan mengurangkan risiko pemalsuan (dokumen), tetapi sistem ini masih lagi dalam proses transisi,” katanya.

Pada 31 Julai lepas, Nik Nazmi berkata sejak 2017, sistem e-Tanah telah diguna pakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta Perak dan Selangor.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan