AM

Pulau Pinang Lulus Peruntukan RM13.6 Juta Untuk RIBI Sejak 2016

21/01/2025 03:50 PM

GEORGE TOWN, 21 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Jawatankuasa Tabung Amanah/Peruntukan Khas Rumah lbadat Bukan Islam (RIBI) telah meluluskan 333 permohonan dengan peruntukan berjumlah lebih RM13.6 juta sejak 2016.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan RIBI dapat beroperasi dengan baik, sekali gus membuktikan kerajaan negeri mengemudi pentadbiran Pulau Pinang dengan adil dan saksama kepada seluruh rakyat.

"Untuk tahun ini pula, peruntukan sebanyak RM1.88 juta diluluskan kepada 54 RIBI di negeri ini dan komitmen itu akan diteruskan demi kebajikan semua pihak terutamanya seluruh rakyat Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek replika kepada para penerima di Komtar di sini hari ini.

Sebelum ini, Chow memaklumkan 129 RIBI telah menerima tanah daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dari 2018 hingga 2024 dalam usaha memastikan rumah ibadat bagi penganut agama lain turut diberi kemudahan dan ruang untuk berkembang dengan sokongan penuh daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata sejak beliau mengambil alih portfolio berkenaan pada Oktober 2023, Jawatankuasa Tabung Amanah/Peruntukan Khas RIBI telah menilai, menapis dan memproses 116 permohonan.

Beliau berkata ia meliputi 55 permohonan tangguhan daripada 2020 sehingga 2023, manakala baki 61 permohonan adalah baharu yang diterima pada 2024.

Beliau memaklumkan daripada keseluruhan permohonan, jawatankuasa berkenaan telah meluluskan 97 permohonan dengan jumlah peruntukan RM3.614 juta pada 2024, iaitu jumlah tertinggi yang pernah diluluskan sejak 2016.

Lim berkata peruntukan yang disalurkan itu digunakan bagi tujuan skop kerja pembinaan, penyelenggaraan serta kerja-kerja kecemasan.

"Bantuan kewangan ini adalah amat penting dalam membantu meringankan beban kewangan pihak pengurusan RIBI dalam menguruskan kerja-kerja pembaikpulihan dan penyelenggaraan RIBI," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan