AM

Perhilitan Perak Pasang Perangkap ‘Pak Belang’ Di Kampung Kolam

22/01/2025 12:12 AM

IPOH, 21 Jan (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak memasang perangkap khas untuk menangkap harimau belang di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Pengarahnya Yusoff Shariff berkata perangkap khas itu merupakan tindakan susulan selepas pemasangan kamera bagi tujuan pengesanan kelibat 'raja rimba' itu yang menyerang lembu ternakan penduduk pada 17 Jan lepas. 

“Sebelum ini, kita telah pasang kamera di kawasan serangan harimau belang tersebut, namun masih belum ada sebarang kelibatnya yang kelihatan.

“Jadi, untuk pastikan tiada perkara di luar jangkaan berlaku dan atas faktor keselamatan penduduk, maka kita ambil keputusan untuk pasang perangkap khas ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 19 Jan lepas, Perhilitan Perak mengesahkan menerima laporan berhubung serangan itu sekitar 12 tengah hari Jumaat lepas berdasarkan penemuan tapak kaki serta kecederaan yang menimpa lembu berkenaan.

Selain itu, Yusoff berkata pihaknya percaya pemangsa yang dikenali dengan nama saintifik Panthera Tigris Jacksoni itu memburu makanan hingga ke kawasan penduduk disebabkan populasi babi hutan yang berkurangan di hutan berhampiran.

“Kita juga percaya harimau ini dalam keadaan sihat serta tidak mengalami sebarang kecederaan sehingga menyebabkan ia menyerang lembu ternakan penduduk,” katanya.

Sehubung itu, penduduk kampung diminta supaya mengawasi dan tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran terutama di lokasi kejadian.

"Sebaiknya tempatkan haiwan ternakan dalam kandang dan jangan sesekali biarkan bebas berkeliaran kerana ia mengundang risiko kejadian serangan berulang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan