Oleh Farhana Poniman
GEORGE TOWN, 23 Jan (Bernama) -- Grab Malaysia kini bukan sekadar aplikasi e-hailing dan penghantaran makanan, sebaliknya terus berkembang dengan memanfaatkan teknologi bagi memacu pemerkasaan ekonomi dan pertumbuhan inklusif dalam kehidupan orang ramai.
Di Pulau Pinang, khususnya Grab telah menyediakan platform kepada hampir 70,000 pemandu dan rakan kongsi penghantaran tempatan termasuk lebih 350 Orang Kurang Upaya (OKU) dan lebih 2,000 wanita untuk memperoleh pendapatan melalui penyelesaian dipacu teknologi.
Pengarah Strategi dan Outer Cities Grab Malaysia Ben Chin berkata pada 2023, rakan kongsi penghantaran Grab di Pulau Pinang secara kolektif memperoleh lebih RM280 juta di platform itu, menonjolkan sumbangan penting Grab kepada ekonomi negeri.
"Apabila Grab mula menapak di Pulau Pinang dahulu, ia merupakan satu aplikasi yang lebih ringkas iaitu perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke tempat tetapi kini telah berkembang sehingga mencakupi servis penghantaran makanan, barangan serta perkhidmatan kewangan.
"Misi kami menjadi aplikasi harian anda dan memperkasakan orang ramai untuk memperoleh peluang yang sama rata," katanya kepada Bernama pada sesi 'Sembang Tech Tarik Bersama Grab' di sini baru-baru ini.
Beliau berkata syarikat berkenaan giat melabur di dalam aspek penyelesaian teknologi yang boleh meningkatkan perbelanjaan pengguna dan akan membawa kepada lebih banyak pesanan untuk rakan niaga Grab seterusnya mengalir kepada rakan kongsi penghantaran Grab.
Chin berkata visi Pulau Pinang untuk menjadi negeri yang terlibat secara digital dan inovatif menjelang 2030 mencerminkan dedikasinya untuk menggabungkan teknologi dengan kehidupan seharian.
"Dengan menyediakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dengan alat digital yang canggih, kami telah melihat pertumbuhan lima peratus tahun ke tahun di Pulau Pinang, dengan lebih separuh daripada perniagaan ini mengekalkan penarafan lima bintang daripada berjuta-juta penggemar makanan.
"Melalui platform kami, kami membantu memperkasakan perniagaan tempatan, meningkatkan pengalaman pelancongan dan menyumbang kepada transformasi digital dinamik Pulau Pinang," katanya.
Sementara itu, Pengurus Analitik Produk - Pengalaman Pengguna Grab berkata syarikat itu berharap dapat memainkan peranan penting dalam ekosistem pelancongan Pulau Pinang, menghubungkan pelancong dengan tarikan tempatan dan memperkayakan perjalanan mereka.
Beliau berkata aplikasi Grab merupakan rakan perjalanan paling dipercayai pelancong asing dengan 65 peratus pengunjung luar negara di Malaysia menggunakan aplikasi Grab, manakala Malaysia merupakan destinasi pilihan ketiga teratas oleh pelancong asing, selepas Singapura dan Thailand di rantau ini.
Bagi menyokong aktiviti pelancongan di sini, Teh berkata Grab Malaysia berusaha memperbaiki aplikasi berkenaan untuk membolehkan pelancong asing menikmati perjalanan mereka seperti penduduk tempatan.
"Pihak kami berusaha meningkatkan kebolehcapaian untuk semua pengguna terutamanya bagi membantu pelancong asing dalam perjalanan mereka, contohnya mewujudkan aplikasi Grab versi Jepun, Korea dan Cina kerana ini merupakan pasaran pelancong utama yang melawat Asia Tenggara.
"Seterusnya, jika seseorang pelancong tidak pasti tentang lokasi mereka ketika hendak menempah perjalanan di aplikasi Grab, mereka cuma perlu mengambil gambar nama jalan atau bangunan terdekat," katanya.
Teh berkata aplikasi berkenaan boleh membimbing pengguna untuk menuju ke lokasi pengambilan terdekat atau memasukkan tempat berkenaan sebagai lokasi pengambilan bagi memudahkan proses tempahan perjalanan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial