AM

KDN Perkukuh Kawalan Sempadan Malaysia-Thailand, Tangani Jenayah Rentas Negara

24/01/2025 10:02 PM

JELI, 24 Jan (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN)  terus memperkukuh kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bagi menangani isu penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata usaha Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat termasuk memperketat kawalan di sepanjang Sungai Golok hingga ke Jeli, wajar diberikan sokongan penuh memandangkan ia melibatkan kawasan sempadan sejauh lebih 100 kilometer (km) yang sekian lama menjadi tumpuan aktiviti jenayah seperti penyeludupan, pemerdagangan orang, dan dadah.

“Saya menghargai keutamaan diberikan Ketua Polis Kelantan dalam memastikan keselamatan di kawasan sempadan. 

"Kewujudan pangkalan haram dan laluan tikus yang menjadi laluan penyeludupan minyak masak, gas, lembu, dan pelbagai barang keperluan lain tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata isu keselamatan ini bukan sahaja penting untuk Malaysia tetapi juga memberi impak kepada Thailand. 

Justeru, beliau telah mengadakan pertemuan tertutup dengan rakan sejawatnya dari Thailand iaitu Anutin Charnvirakul yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri bagi membincangkan langkah bersama untuk menangani isu berkenaan.

“Saya telah menyampaikan kepada beliau (Anutin) bahawa kawalan keselamatan sempadan adalah untuk kebaikan kedua-dua negara. 

"Keselamatan tidak boleh dikompromi dan hubungan erat antara Malaysia dan Thailand perlu dimanfaatkan untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh,” katanya.

Saifuddin Nasution juga menzahirkan keyakinan terhadap keberkesanan langkah yang telah diambil oleh pihak polis Kelantan dalam tempoh singkat ini. 

Beliau memberi jaminan KDN akan terus menyokong segala usaha untuk memastikan keselamatan sempadan terjamin.

“Pemantauan akan diteruskan, dan saya akan memberikan bantuan sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan dalam memastikan langkah-langkah keselamatan dapat dipertingkatkan. Ini usaha bersama yang memerlukan sokongan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata hubungan baik antara Malaysia dan Thailand perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh kawalan keselamatan sempadan sambil meningkatkan kefahaman bersama dalam menangani cabaran rentas sempadan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan