KLANG, 26 Jan (Bernama) -- Pembatalan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bukan keputusan yang bersifat flip flop (berubah-ubah), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata keputusan Jemaah Menteri itu adalah bertujuan untuk memastikan libat urus dengan semua pihak dapat dilakukan secara menyeluruh.
“Jadi pada sahabat yang bertanya saya mengapa WBB bukan suatu yang flip flop ialah sebab saya belum lagi memberikan keputusan bagi (pelaksanaan) WBB ini.
“Ia masih dalam tahap projek rintis, dan pada ketika itulah (projek rintis telah didedahkan) lalu menjadi serangan pada semua, mengapa mereka yang lain tidak dilibatkan,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Amanah 2024 di sini hari ini.
Sebelum ini, Dzulkefly dalam kenyataan memaklumkan Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira segala pertimbangan dan susulan itu Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Abu Bakar Suleiman.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kebocoran maklumat berhubung edaran arahan projek rintis WBB yang dilaksanakan di lima hospital itu sebagai satu kesilapan yang akhirnya menjadi pertikaian.
“Ketika bocor itu, semua doktor lain di seluruh negara bertanya mengapa mereka tidak dilibat uruskan. Itu puncanya WBB itu menjadi masalah. Sebab mereka menuntut hak untuk dilibat uruskan.
“Saya mengambil sikap untuk mengangkat perkara ini di Kabinet. Kabinet, setelah saya membuat penerangan berpendapat untuk saya batalkan (WBB) dan saya akan teruskan kajian untuk dapatkan pandangan daripada semua pihak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial