KUCHING, 27 Jan (Bernama) -- Seramai 45,313 wanita di Sarawak telah menjalani ujian saringan virus papiloma manusia (HPV) DNA bagi mengesan kanser serviks dari tahun 2019 hingga 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,037 kes positif HPV telah direkodkan.
Beliau berkata secara keseluruhan bilangan kes kanser serviks di Malaysia menunjukkan penurunan.
“Menurut Laporan Kanser Kebangsaan, insiden kanser serviks menurun dari tangga ketiga ke tangga keenam dalam kalangan kanser wanita antara 2017 hingga 2021. Lebih membanggakan, kanser serviks satu-satunya kanser dalam kalangan wanita yang mencatatkan penurunan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Program Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Nancy berkata kanser serviks adalah penyakit yang boleh dicegah dan pengesanan awal adalah langkah penting untuk melindungi nyawa.
Pada tahun ini, beliau berkata kementerian akan mempergiat usaha dengan menawarkan saringan HPV DNA secara percuma kepada wanita berumur 30 hingga 65 tahun di 50 Klinik Nur Sejahtera di seluruh Malaysia.
“Ini peluang besar untuk semua wanita yang layak mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan mereka. Langkah kecil ini mampu menyelamatkan nyawa.
“Jangan tunggu sehingga ada gejala, pengesanan awal adalah kunci untuk mencegah risiko lebih besar di masa depan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial