AM

Banjir Di Kota Marudu Antara Terburuk Pernah Berlaku - Penduduk

01/02/2025 01:02 PM

KOTA MARUDU, 1 Feb (Bernama) -- Banjir yang melanda beberapa kampung di daerah ini susulan hujan lebat berterusan sejak Rabu lepas disifatkan penduduk antara yang terburuk pernah berlaku setelah paras air naik secara mendadak.

Tinjauan Bernama mendapati sebahagian mangsa yang di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau menyatakan disebabkan air naik terlalu cepat mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda sebaliknya hanya berfikir untuk menyelamatkan diri dan keluarga.

Noraidah Lamada, 33, dari Kampung Sumbilingon Laut berkata bencana banjir kali ini adalah yang terburuk di kampung itu sejak menetap di situ lebih 20 tahun lepas.

“Sebelum ini, memang bila hujan lebat berterusan kampung ini akan dilanda banjir tetapi ia tidaklah teruk kali ini...air naik dengan cepat dan dalam keadaan panik kebanyakan penduduk hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri serta keluarga.

"Kejadian berlaku tengah malam dan keadaan gelap menyebabkan penduduk bertambah panik namun kami bernasib baik kerana diselamatkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba sebelum dipindahkan ke PPS," katanya ketika ditemui di PPS SMK Bandau.

Noraidah berkata segala kelengkapan rumahnya musnah dah dihanyutkan banjir dengan kerugian dianggarkan lebih RM10,000.

Seorang lagi mangsa, Ida Mariana Marimpan, 40, berkata dalam keadaan panik kerana air naik  mendadak, dia dan suami hanya berfikir untuk menyelamatkan tiga orang anak mereka saja yang berjaya dipindahkan ke PPS.

"Sedih melihat keadaan rumah yang dimasuki air ketika itu dan barangan rumah seperti perabot, perkakasan elektrik habis dihanyutkan banjir. Nampaknya, selepas ini kami sekeluarga terpaksa membeli semua keperluan yang hilang dan rosak.

"Diharapkan ada pihak khususnya kerajaan yang dapat membantu meringankan beban kami," katanya.

Mohd Azrul Lamada, 37, dari Kampung Kuranji juga berkata banjir kali ini antara yang terburuk yang pernah berlaku di kampung itu. 

"Disebabkan air naik dengan cepat kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk kenderaan, dulu pernah banjir besar tetapi penduduk ada masa untuk memindahkan kenderaan ke kawasan selamat," katanya.

Setakat 8 pagi tadi, Kota Marudu kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,944 orang daripada keseluruhan mangsa banjir di Sabah sebanyak 5,216 orang.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama pada tengah hari ini menyaksikan keadaan banjir di daerah itu beransur pulih dengan mangsa mula dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Marudu Meirin Sugara (SHE) yang juga Pegawai Daerah Kota Marudu berkata cuaca baik pada hari ini dan banjir di daerah itu dijangka pulih sepenuhnya hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata penduduk telah dibenarkan pulang secara berperingkat dan bencana banjir di daerah itu

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan