AM

P.Pinang Terus Jadi Tumpuan Pelancong Pada Musim Cuti

01/02/2025 08:02 PM

GEORGE TOWN, 1 Feb (Bernama) -- Pulau Pinang yang sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara sekali lagi diserbu orang ramai sepanjang cuti Tahun Baharu Cina dan cuti hujung minggu serta cuti persekolahan ketika ini.

Tinjauan Bernama mendapati negeri itu kekal menjadi destinasi pilihan pelancong malah bermula minggu lepas lagi, jalan-jalan utama di pusat bandar sehingga ke kawasan pantai di Batu Ferringhi khususnya, sesak dengan kenderaan.

Tinjauan juga mendapati kedai-kedai nasi kandar di Jalan Gurdwara dan Jalan Datuk Keramat serta cendol dan air sarbat di Jalan Penang di sini menjadi tumpuan pelancong sejak pagi malah pengunjung sanggup berbaris panjang untuk menikmatinya.

Pelancong dilihat berkunjung ke lokasi tumpuan antaranya Bukit Bendera, Armenian Street, Batu Ferringhi, Padang Kota dan Jeti Chew yang juga dikenali sebagai Tan Jetty iaitu perkampungan kecil nelayan yang dibina atas air.

Seorang pengunjung Siti Hajar Hamzah, 38, berkata beliau sekeluarga datang dari Melaka dan memang memilih Pulau Pinang untuk bercuti sempena Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan kali ini kerana beberapa lokasi menarik yang terdapat di negeri ini.

Siti Hajar yang merupakan akauntan berkata beliau datang ke Pulau Pinang sejak Selasa lepas dan telah ke beberapa lokasi pelancongan antaranya Bukit Bendera, Padang Kota dan pantai sekitar Batu Ferringhi yang semakin menarik sekarang ini.

"Saya pilih untuk datang lebih awal kerana hari Selasa kami masih dapat menikmati diskaun 50 peratus tol dan sudah pasti jika ke Pulau Pinang, nasi kandar serta pasembor menjadi pilihan kami sekeluarga.

"Kalau ikutkan kesesakan, di mana-mana pun akan sesak jika cuti panjang dan cuti sekolah tapi suasana, makanan dan tempat-tempat menarik di Pulau Pinang memang sentiasa menjadi pilihan kami," kata ibu kepada tiga anak itu.

Seorang lagi pengunjung, Mohammad Azli Mohd Idris, 35, berkata beliau dan keluarga datang ke Pulau Pinang untuk ke Bukit Bendera dan Batu Ferringhi kerana mahu menikmati pemandangan yang cantik di kawasan tersebut.

Walaupun terpaksa beratur panjang untuk membeli tiket dan menaiki kereta kereta api funikular namun beliau dan keluarga tetap berpuas hati.

"Dua anak saya sangat gembira kerana ini pertama kali mereka dapat menaiki kereta api funikular Bukit Bendera dan sebenarnya 'bonus' apabila datang ke negeri ini ialah makanannya yang sedap-sedap terutama pelbagai pilihan nasi kandar," kata pekerja swasta dari Selangor itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Datuk Tony Goh berkata tempahan bilik di kebanyakan hotel di pusat bandar serta di kawasan pantai hampir penuh sejak Selasa lepas.

Beliau berkata kehadiran pelancong bukan sahaja membantu meningkatkan perniagaan hotel malah pelbagai sektor lain seperti makanan serta peniaga kecil-kecilan lain.

"Cuti sambutan Tahun Baharu Cina dan sekolah kali ini sekali lagi menyaksikan Pulau Pinang kekal menjadi pilihan pelancong terutama pengunjung domestik, semua bilik hotel boleh dikatakan ditempah sehingga 90 hingga 100 peratus.

"Sepanjang cuti sekolah ini juga boleh dikatakan tempahan bilik hotel sangat baik dan kami jangkakan minggu depan, tempahan terus meningkat berikutan sambutan Thaipusam yang disambut pada 11 Feb nanti," katanya.

Pulau Pinang sesak susulan pertambahan kenderaan seperti yang dilaporkan polis dengan lebih 2.4 juta kenderaan memasuki negeri ini sepanjang Tahun Baharu Cina terutamanya di Jambatan Pulau Pinang dan jalan-jalan utama negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan