AM

Bantuan Malaysia Untuk Gaza: "Setitis Air Di Lautan" Atau Suatu Talian Hayat?

07/02/2025 12:44 PM

 

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk Malaysia membina sebuah hospital, sekolah dan masjid di Gaza telah menimbulkan pelbagai reaksi.

Walaupun ramai yang merasakan bahawa perkara itu sesuatu yang Malaysia mampu lakukan di kawasan yang telah musnah sepenuhnya itu, namun ada juga pihak yang berpendapat bahawa kebajikan harus bermula di tanah air sendiri.

Pihak ini mengatakan ada banyak sekolah dan hospital, terutamanya di kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian segera dan harus diberi keutamaan berbanding bantuan kepada rakyat Palestin.

Namun mungkin kita perlu merenung sejenak dan membincangkan isu ini untuk mendapatkan perspektif yang lebih baik.

Sebagai contoh, tidak ramai rakyat Malaysia yang mengetahui bahawa pada tahun 2019, Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya, iaitu sebuah pusat perubatan telah dibangunkan Malaysia.

Terletak di Khan Younis, bahagian selatan Gaza, pusat ini merupakan usaha kerjasama antara Yayasan Keamanan Global Perdana yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad, bersama organisasi bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang lain.

Pusat ini dibina untuk menyediakan perkhidmatan fisioterapi dan pemulihan kepada penduduk di kawasan tersebut. Namun, malangnya hanya selepas setahun ia ditubuhkan, ia musnah dalam serangan udara Israel.

Dilaporkan pada ketika itu, terdapat lima keluarga Palestin sedang berlindung di pusat tersebut selepas rumah mereka dibom dan empat daripada mereka terbunuh.

Terdapat juga sebuah Hospital Indonesia di utara Gaza yang digunakan untuk merawat pesakit dan mangsa yang cedera, namun kini dilaporkan ia tidak lagi dapat berfungsi.

Pembinaan hospital itu bermula pada tahun 2011 dan dibuka pada tahun 2016. Projek ini menelan kos IDR126 bilion (RM34.22 juta), dibiayai oleh rakyat Indonesia, Persatuan Palang Merah Indonesia, serta sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bernama Muhammadiyah.

Pada November 2023, dalam serangan ke atas hospital tersebut yang merupakan sebahagian daripada serangan Israel ke atas Gaza, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh.

Al-Jazeera melaporkan pada bulan lepas hospital itu yang menjadi tempat perlindungan ramai rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal, telah dikepung tentera Israel.

Malaysia, suatu ketika dahulu pernah menyumbang sejumlah besar wang, mencecah jutaan ringgit, untuk membantu membina semula Bosnia dan Herzegovina selepas Perang Bosnia (1992-1995). Kita telah menyediakan makanan, bekalan perubatan dan bantuan kewangan kepada pelarian Bosnia, serta penduduk yang kehilangan tempat tinggal semasa dan selepas perang.

Malaysia telah turut melabur dalam usaha pembinaan semula Bosnia, termasuk infrastruktur, telekomunikasi, dan perbankan, serta membantu membina semula jalan raya, jambatan, dan bangunan yang musnah akibat peperangan.

Saya sendiri berpeluang mengiringi Dr Mahathir, untuk melihat kemusnahan di Bosnia sejurus selepas perang itu berakhir.

Selain itu, Dr Mahathir juga menawarkan biasiswa kepada pelajar Bosnia untuk melanjutkan pelajaran di universiti di Malaysia. Jika kita melakukan perkara yang sama untuk rakyat Palestin hari ini, pasti ada pihak yang akan membantah.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz, yang mengkritik rancangan Malaysia di Gaza, seharusnya mengingat semula bantuan bernilai jutaan ringgit yang telah disalurkan kepada rakyat Bosnia.

Malaysia juga memainkan peranan dalam mempertahankan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) daripada rejim apartheid di Afrika Selatan. Kita memberikan bantuan kewangan secara langsung kepada ANC bagi menyokong aktiviti politik dan gerakan penentangan mereka.

Sekali lagi, Malaysia turut menawarkan biasiswa dan peluang pendidikan kepada rakyat Afrika Selatan yang terjejas akibat dasar apartheid.

Saya sendiri berada di Lusaka, Zambia, pada tahun 1990 untuk menyaksikan Dr Mahathir, menjadi satu-satunya pemimpin bukan dari Afrika untuk menyambut ikon ANC, mendiang Nelson Mandela, selepas beliau dibebaskan.

Jadi, mengapakah negara-negara termasuk Malaysia perlu membantu Gaza?

Terdapat banyak sebab kemanusiaan yang kukuh, berasaskan hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa, dan tanggungjawab moral.

Sebagai manusia, kita tidak boleh membutakan mata dan tidak membantu ribuan orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang terjejas akibat kehilangan tempat tinggal, cedera serta kehilangan ahli keluarga dan sumber pendapatan.

Mereka ini bukanlah pejuang Hamas atau pengganas, tetapi manusia biasa seperti kita. Adakah sesetengah daripada kita telah mati hati nuraninya dan semangat untuk membantu sesama manusia?

Adakah ini hanya prasangka anda terhadap mereka, hanya kerana mereka beragama Islam? Ketahuilah bahawa terdapat ramai rakyat Palestin yang beragama Kristian dan Hospital Baptist yang berusia 140 tahun telah turut dibom oleh Israel, mengorbankan lebih daripada 500 orang.

Undang-undang Antarabangsa dengan jelas menyatakan bahawa orang awam di zon konflik sepatutnya mendapat akses kepada bantuan kemanusiaan, tetapi Israel telah menghalang sepenuhnya bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Rakyat Gaza kini berdepan dengan sistem kesihatan yang musnah sepenuhnya. Selain itu, kesukaran dan keputusasaan yang melampau boleh mendorong kepada radikalisme, sedangkan bantuan kemanusiaan dapat memberikan harapan dan mewujudkan kestabilan.

Semua agama mengajar kepentingan membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Ini berkaitan penjagaan nyawa dan maruah manusia, mengurangkan penderitaan dan menegakkan nilai kemanusiaan antarabangsa.

Ikrar Malaysia untuk membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza, jika dapat direalisasikan, sebenarnya hanyalah ibarat “setitis air di lautan”.

Kita bukan bercakap mengenai pembinaan semula keseluruhan Gaza, dan bukanlah sesuatu yang mudah untuk melaksanakan projek Malaysia ini.

Presiden AS Donald Trump, yang telah pun mempunyai rancangan untuk memindahkan rakyat Palestin dan atas kata-katanya sendiri, mengambil alih kawasan itu dan menamatkan harapan pembentukan sebuah negara Palestin – sesuatu yang pasti menggembirakan Israel.

-- BERNAMA

 

* Penulis, Datuk Seri Wong Chun Wai, mempunyai pengalaman lebih 40 tahun sebagai wartawan dan merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Bernama.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan