AM

TUDM Beri Penekanan Warganya Kuasai Teknologi AI

08/02/2025 04:58 PM

IPOH, 8 Feb (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberi penekanan terhadap inovasi dan kreativiti warganya dengan penguasaan kemahiran baharu berasaskan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI).

Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata penggunaan AI dalam era teknologi masa kini kian pesat berkembang, menjadi kunci untuk membina angkatan masa hadapan yang ampuh dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata warga TUDM perlu sentiasa berusaha gigih mengadaptasi dan mengaplikasi teknologi terkini secara komprehensif, bagi membolehkan mereka mempertingkatkan tahap kompetensi, ilmu pengetahuan dan kepakaran masing-masing.

“Dalam konteks ini juga, saya yakin dan percaya para Perajurit Muda Udara semua kini berada dalam landasan terbaik untuk meneruskan kesinambungan perkembangan karier dalam TUDM.

“Melalui latihan-latihan kepakaran yang bercorak inovatif, sekali gus mempersiapkan diri anda untuk mengoperasi dan menyelenggara aset serta peralatan pertahanan terkini, yang bakal diperoleh dalam Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 atau dikenali sebagai CAP55,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Tamat Latihan membabitkan 443 Perajurit Muda Siri 68/24, di Padang Kawad Akademi Tentera Udara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Asghar Khan turut mengingatkan Perajurit Muda Udara terus memegang teguh disiplin ketenteraan dan menjaga imej serta nama baik perkhidmatan pada setiap masa. 

“Hindari salah laku yang boleh menjejaskan integriti dan maruah diri, organisasi, serta negara. TUDM tidak akan berkompromi dengan kesalahan jenayah seperti penyalahgunaan dadah, rasuah dan judi dalam talian.

“Sentiasalah membudayakan nilai integriti yang tinggi sebagai benteng diri daripada terjebak dengan sebarang perbuatan yang merugikan diri dan perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Perajurit Muda Udara Terbaik Siri 68/24, Nik Muhammad Sharizul Afandi Mokhtar, 20, berkata beliau minat dengan dunia ketenteraan sejak berusia tujuh tahun lagi.

Anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Machang, Kelantan itu berkata beliau meminati mengumpul koleksi permainan pesawat sejak dahulu lagi dan sering melakukan pelbagai kajian mengenai pesawat Charlie, Sukhoi serta Airbus di laman media sosial.

“Saya berharap penghargaan (anugerah) yang diterima ini akan menjadi kenangan manis pada masa akan datang dan menjadi anggota tentera yang berkaliber,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan