AM

Masih Banyak Jalan Raya Di Johor Perlu Dinaik Taraf - Onn Hafiz

09/02/2025 11:02 AM

JOHOR BAHRU, 9 Feb (Bernama) -- Masih banyak jalan raya di Johor perlu diperbaik dan dinaik taraf dengan segera kerana keadaan itu sangat membahayakan keselamatan pengguna, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan akan terus komited untuk menyelesaikan isu berkenaan supaya jalan raya di Johor selamat dan selesa digunakan untuk rakyat.

"Semoga segala usaha yang dijalankan ini dapat memberi impak yang positif dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas yang selama ini menjadi cabaran besar kepada Bangsa Johor. 

"Dengan perancangan teliti dan pelaksanaan yang efektif, diharap kita dapat menyelesaikan isu kesesakan ini dan seterusnya mewujudkan suasana yang lebih lancar dan teratur," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini. 

Onn Hafiz berkata beliau juga berkesempatan meninjau kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf beberapa jalan selain dibentangkan perkembangan dan status terkini projek yang telah dan sedang dijalankan di Johor Bahru.

Beliau berkata ia melibatkan projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang (Fasa 3), iaitu dari persimpangan bertingkat Perling ke susur naik Lebuhraya Utara Selatan daripada empat lorong kepada enam lorong dengan kos sebanyak RM301.5 juta yang dijangka siap pada Jun 2028.

Projek kedua ialah menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang (Fasa 2B), iaitu dari persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke Pasir Gudang daripada empat lorong kepada enam lorong dengan kos sebanyak RM78 juta dan dijangka siap pada Februari 2026. 

Ketiga pula katanya, membabitkan projek naik taraf Jalan Persiaran Tanjung Langsat dari Jambatan Sungai Kim Kim ke pintu masuk Pelabuhan Tanjung Langsat dengan kos sebanyak RM14 juta dan dijangka siap pada April tahun ini untuk meningkatkan akses ke kawasan industri dan pelabuhan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan