BUKIT MERTAJAM, 9 Feb (Bernama) -- Dalam usaha memastikan hutan simpan di Seberang Perai di sini terus menerima kunjungan unggas, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) menjalankan usaha merekodkan spesies burung di dua kawasan di hutan itu.
Ketua Kerja Lapangan Shaiful Azhar Abu Bakar berkata setakat ini lebih 100 spesies burung direkodkan menerusi aktiviti cerapan yang merupakan sebahagian daripada projek ‘Survei Senarai Semak Spesies Burung Hutan di Seberang Perai’.
Beliau berkata antara lain projek itu mengemas kini data spesies burung, bertujuan memulihara sumber biodiversiti yang berperanan penting dalam kehidupan manusia.
NEST katanya telah memperoleh geran daripada Think City, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad bagi menyediakan satu laporan senarai semak spesies burung hutan sebagai bahan rujukan untuk penyelidikan, perancangan pembangunan dan pembangunan polisi termasuk ekopelancongan.
“Aktiviti mencerap burung ini bermula di Hutan Simpan Pelajaran Air Hitam Dalam baru-baru ini dan berjaya mengumpul lebih kurang 60 spesies burung manakala Taman Rimba Bukit Mertajam setakat hari ini sudah merekodkan 40 spesies.
“Proses ini akan diteruskan sehingga Selasa depan sebelum kita bergerak pula ke Taman Negeri Bukit Panchor di Nibong Tebal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hutan Rimba Bukit Mertajam di Cherok Tokun di sini, hari ini.
Shaiful berkata hasil cerapan di Hutan Simpan Pelajaran Air Hitam Dalam umpamanya menyaksikan kemunculan kawanan burung muda seperti Burung Helang Kembara Hitam atau Black Kite yang bertenggek di pokok, membuktikan pertambahan pembiakan burung spesies itu di kawasan terbabit dan pihaknya menjangkakan dapat menemui lebih banyak spesies lagi.
Beliau berkata aktiviti itu melibatkan penyertaan 10 orang aktivis dan pakar burung daripada universiti tempatan selain pemerhati dan jurufoto berpengalaman yang bekerjasama dalam mengenal pasti spesies burung tempatan serta migrasi.
Menurutnya sata itu penting dalam memastikan kelestarian hutan simpan itu supaya burung-burung berkenaan dapat kembali semula ke hutan pada masa akan datang.
“Proses cerapan ini biasanya dilakukan tiga sesi iaitu pagi kerana ketika itu burung-burung aktif mencari makanan dan petang ketika ia balik rehat dan malam bagi melihat burung nokturnal seperti burung hantu,” katanya dan menambah pasukan berdepan pelbagai cabaran di lapangan termasuk terpaksa mendaki kawasan berbukit sambil membawa kelengkapan berat.
Sementara itu, Penyelaras Projek Dr. Siti Norasikin Ismail berkata projek survei tersebut bertujuan menyediakan satu laporan senarai semak spesies burung hutan kepada pemberi dana iaitu Think City dan Majiis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi projek pemerkasaan Seberang Perai.
“Projek ini juga sebagai usaha menyediakan satu laporan mengenai pengetahuan, sikap dan persepsi serta mewujudkan kesedaran pemeliharaan burung dalam masyarakat di Seberang Perai.
“Kami juga akan menerbitkan bahan cetak seperti makalah atau brosur berkaitan spesies burung hutan, video pendek dan data dalam platfom digital untuk capaian awam.
Beliau berkata penyimpanan dan pengemaskinian data burung amat penting dan memberi impak kepada peningkatan ekopelancongan di kawasan terlibat selain menjadi rujukan buat pengkaji dan orang awam.
Menurut Siti Norasikin hasil survei itu juga akan dikemukakan kepada masyarakat Seberang Perai menerusi perbincangan dan pembentangan dalam bengkel berkaitan khazanah alam khususnya kepentingan pemuliharaan burung dan habitatnya.
Selain itu katanya peserta akan didedahkan kepada pengenalan mengenai aktiviti memerhati burung, proses identifikasi burung, cara untuk berkongsi dapatan dan teknik fotografi burung di lapangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial