PUCHONG, 9 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) berjaya mengumpul kutipan levi RM2.3 bilion pada tahun lepas, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata jumlah kutipan levi berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu RM2.1 bilion.
“Kutipan levi tahun lepas telah mencapai rekod baharu tertinggi dalam sejarah iaitu RM2.3 bilion berbanding 2023 iaitu RM2.1 bilion.
“Ada orang tanya kutip levi buat apa? Kami di sini bukan hanya mengutip levi tetapi kami mahu memastikan levi ini digunakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran HRD Corp di Dewan Serbaguna Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Ming di sini hari ini.
Sim ketika ditanya mengenai kelulusan yang diberikan bagi penggunaan levi pada tahun lepas berkata ia mencecah RM2.27 bilion daripada RM2.3 bilion, sekali gus menyaksikan peningkatan hampir 30 peratus berbanding 2023 (RM1.7 bilion).
“Pembayaran tuntutan levi pula berjaya kita selesaikan dengan mengembalikan duit itu sepenuhnya kepada majikan dan penyedia latihan untuk menjalankan latihan, iaitu 85 peratus daripada pembayaran levi tahun lepas, yang juga peningkatan 30 peratus berbanding tahun 2023.
“HRD Corp ialah pemegang amanah levi yang dikutip daripada majikan. Kami akan memastikan bahawa levi ini dikembalikan kepada tujuan asal HRD Corp iaitu untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja kami di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Sim berkata HRD Corp juga menyasarkan untuk menyediakan sistem penyampaian dan perkhidmatan dalam mempercepat kelulusan geran levi kepada sejam pada tahun ini.
Beliau berkata pada tahun lepas, HRD Corp berjaya menyegerakan proses kelulusan untuk kegunaan levi daripada tujuh hari kepada dalam tempoh 24 jam, manakala tahun ini menyasarkan untuk melunaskan pembayaran levi daripada tujuh hari kepada tiga hari.
Sim berkata pihaknya masih menunggu laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap HRD Corp.
Pada Julai tahun lepas, SPRM menyiasat HRD Corp susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 berikutan ada beberapa keputusan diambil agensi itu didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
Sebelum itu, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan oleh program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai kegiatan pelaburan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial