JOHOR BAHRU, 10 Feb (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) menyalurkan sumbangan zakat wakalah berjumlah RM60,000 yang memanfaatkan seramai 200 pelajar asnaf daripada 10 buah sekolah di Johor.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Zahrin Zakaria berkata Program UDA Cares Back to School 2025 @ South memperuntukkan RM300 untuk setiap pelajar membeli kelengkapan sekolah di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini.
“Program ini dilaksanakan setiap tahun dan merupakan keperluan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta selaras dengan peranan UDA membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat khususnya bumiputera.
“Sumbangan ini diharap dapat memberi semangat dan menceriakan pelajar untuk memulakan sesi persekolahan tahun baharu dengan lebih selesa, selain meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan,” katanya ketika berucap pada pelancaran program itu di pusat beli-belah berkenaan hari ini.
Turut hadir Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA Mohd Nazri Jamiran, Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall Imran Salleh dan Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd Ismail Dasuki.
Zahrin berkata sekolah yang terlibat di bawah wilayah pembangunan UDA itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Danga, SK Kompleks UDA, SK UDA 2, SK Kampung Pasir, SK Pengkalan Rinting, SK Tasek Utara, SK Taman Cempaka, SK Seri Kenanga, SK Seri Melati serta SK Perumahan Tampoi 2.
Beliau berkata usaha yang dilakukan itu, selari dengan komitmen UDA dalam mendukung aspirasi kelestarian dengan memfokuskan aktiviti sosial dan ekonomi masyarakat serta negara, selaras dengan prinsip penjenamaan baharu UDA iaitu 'L.I.F.E.', yang bermaksud Legacy, Integrated, Finesse dan Enrich.
Zahrin berkata program sama turut dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang memberi manfaat kepada 102 pelajar di Sandakan, Sabah dan 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bahaman, Lanchang di Pahang pada Disember tahun lepas.
Sementara itu, Guru Besar SK Kompleks UDA Rafidah Mohd Yussup berkata inisiatif berkenaan, meringankan beban kewangan ibu bapa untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.
“Pihak sekolah sangat menghargai usaha baik UDA dalam membantu meringankan beban ibu bapa untuk persiapan anak-anak. Terima kasih diucapkan dan saya harap program seperti ini diteruskan,” katanya.
Guru Besar SK Seri Kenanga Souib Hamad berkata komitmen UDA yang sentiasa membantu asnaf perlu diberikan pujian.
“Terima kasih UDA kerana membantu pelajar asnaf, pihak sekolah berbesar hati dengan inisiatif ini kerana kebanyakan pelajar di sekolah kami adalah daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial