JENAYAH & MAHKAMAH

Lima Sekeluarga Nyaris Maut, Kereta Bertembung Sebelum Terbakar

11/02/2025 12:35 PM

BALIK PULAU, 11 Feb (Bernama) -- Lima sekeluarga nyaris maut selepas kenderaan pelbagai (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta sebelum kedua-dua kenderaan tersebut terbakar dalam kemalangan di Jalan Tun Sardon di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata dalam kemalangan kira-kira 2.30 pagi itu, lima sekeluarga berusia 10 hingga 74 tahun berkenaan dalam perjalanan pulang ke Balik Pulau dari Hatyai, Thailand.

“Pemandu Perodua Alza, isteri dan anaknya serta ibu mertua dan kakak ipar lelaki itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan antaranya tangan serta kaki.

“Turut cedera di tangan serta muka pemandu kereta Mercedes A250 Sport dan seorang penumpang kereta itu, masing-masing berusia 21 tahun,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV tersebut yang menghala ke Balik Pulau bertembung dengan Mercedes A250 yang memasuki laluan bertentangan selepas hilang kawalan ketika di selekoh. 

Sazalee berkata akibat pelanggaran itu kedua-dua kenderaan tersebut terbakar sepenuhnya dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba dan kes disiasat di bawah Sek 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan