KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk memastikan perkhidmatan telekomunikasi berjalan lancar bersempena dengan sambutan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata bagi memastikan sambutan Thaipusam di Batu Caves berjalan lancar tanpa sebarang isu rangkaian, MCMC bersama penyedia perkhidmatan utama telah menjalankan penilaian rangkaian menyeluruh di kawasan itu sejak 5 Feb lepas.
"Dengan jangkaan lebih 1.8 juta pengunjung ke Batu Caves, termasuk pelancong dari luar negara bersempena dengan Thaipusam tahun ini, kesalinghubungan yang stabil amat penting.
"Ia bagi membolehkan semua pihak kekal berhubung bukan sahaja untuk berkomunikasi dengan keluarga, berkongsi pengalaman, tetapi juga bagi memastikan akses kepada maklumat penting sepanjang acara berlangsung," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Penganut Hindu menyambut Thaipusam hari ini bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial