ARAU, 14 Feb (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited memperkukuhkan sistem pendidikan dengan pendekatan lebih dinamik dan inovatif bagi memenuhi keperluan Generasi Z dan Alpha yang semakin dominan dalam ekosistem pembelajaran.
Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata perubahan itu penting bagi memastikan tenaga akademik yang majoritinya terdiri daripada Generasi X dan Y dapat mengadaptasi kaedah pengajaran baharu yang lebih relevan dengan pelajar masa kini.
“Generasi Z membesar dengan teknologi dan masih menghargai keseimbangan antara dunia digital dan realiti, manakala Generasi Alpha pula adalah sejati digital yang lebih selesa berinteraksi secara maya.
“Justeru, cabarannya adalah bagaimana kita boleh menggabungkan keunikan setiap generasi ini untuk mewujudkan persefahaman dan keberkesanan dalam pembelajaran,” katanya ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor 2025 di Dewan Kecemerlangan di UniMAP di sini hari ini.
Zaliman berkata perubahan itu selari dengan Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas pembentukan generasi berdaya saing.
Sementara itu, beliau berkata UniMAP menyelaraskan dasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Pelan Strategik UniMAP 2025 yang berlandaskan lima teras utama termasuk pengukuhan akademik, pemerkasaan penyelidikan serta kesejahteraan pelajar.
“Pelan strategik ini berada dalam Fasa III dengan 77 petunjuk prestasi utama (KPI) dan pencapaian keseluruhan 86.5 peratus pada 2024.
“Untuk fasa seterusnya, UniMAP sedang merangka pelan baharu 2026-2030 yang lebih teguh dan bersifat kalis masa depan bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan universiti,” katanya.
Pada majlis sama, Zaliman turut melancarkan aplikasi rasmi pelajar UniMAP iaitu URDigital bagi meningkatkan pengalaman akademik menerusi akses pantas kepada perkhidmatan universiti seperti akaun pelajar, jadual kelas dan kad matrik maya.
UniMAP turut memperkenalkan Buku Kod Etika Staf serta video korporat edisi 2025 yang menonjolkan peranan universiti dalam memastikan keberkesanan pendidikan tinggi yang lebih lestari dan berimpak tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial