KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Format baharu Parlimen Belia kini di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk diluluskan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Beliau turut memberikan jaminan bahawa pemilihan perwakilan Parlimen Belia yang dijangka diadakan November depan juga akan menggunakan format baharu itu.
Johari berkata pelaksanaan kerja-kerja lapangan telah dilakukan seperti pemasangan pendawaian bagi memberikan infrastruktur yang baik kepada Ahli Parlimen Belia ketika persidangan dijalankan.
“Mengenai format itu, kita dah ada idea. Kita nak keluar daripada yang pernah dibuat sebelum ini, itu bagus cuma kita rasakan harus ada penambahbaikan.
“Ini berkaitan polisi tetapi rangka kerja dasar kita dah buat dan sekarang di peringkat akhir, dalam sebulan atau sebulan lebih siap, kita akan persembahkan kepada Kabinet untuk diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Bual Bicara Pendidikan Asas Kenegaraan: Membina Generasi Mampan Masa Hadapan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Siswa Guru Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Institut Pendidikan Guru Malaysia hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Dr Mohd Azam Ahmad.
Penyelarasan format baharu Parlimen Belia akan memasukkan kaedah perluasan kerusi, dengan di setiap kawasan mempunyai perwakilan kawasan seperti struktur di Dewan Rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial