AM

Ekonomi Negara Kukuh, Kerajaan Madani Komited Pastikan Kesejahteraan Rakyat - Ahmad Zahid

15/02/2025 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen untuk memacu pembangunan ekonomi yang mampan dan berdaya saing bagi memastikan kesejahteraan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

Menurut laporan Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia Suku Keempat 2024, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus pada suku keempat tahun 2024 dan 5.1 peratus bagi keseluruhan tahun, berbanding 3.6 peratus pada 2023.

Menyambut baik laporan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata angka berkenaan mencerminkan ketahanan ekonomi negara serta keberkesanan dasar kerajaan dalam memastikan pertumbuhan yang mampan dan berdaya saing.

“Saya percaya kejayaan ini mesti diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat seperti membawa lebih banyak peluang pekerjaan, pembukaan perniagaan baharu, peningkatan kemudahan infrastruktur dan pemacuan taraf hidup, khususnya bagi masyarakat luar bandar dan Bumiputera yang menjadi tunjang kekuatan negara,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Beliau berkata Kerajaan MADANI komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur asas, bekalan air bersih, elektrik dan Internet terus dipertingkatkan memandangkan kini lebih lapan juta rakyat tinggal di luar bandar.

Dalam memastikan kesejahteraan ekonomi Bumiputera, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan akan memperkukuh akses kepada pembiayaan yang lebih strategik, contohnya melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), sekali gus merancakkan lagi pemerkasaan ekonomi negara.

Melalui Majlis TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional ) pula, beliau berkata kerajaan akan terus berusaha melahirkan tenaga mahir berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi keperluan industri yang berkembang pesat termasuk automasi, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan kejuruteraan pintar.

“Inisiatif ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan, tetapi juga memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam era ekonomi moden,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut menggariskan potensi besar industri halal sebagai pemangkin utama ekonomi negara.

Ahmad Zahid berkata Malaysia mesti kekal sebagai hab halal global dengan memperkukuh ekosistem halal, memperluas pasaran eksport, serta memastikan lebih ramai usahawan Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa. 

“Ini adalah langkah strategik untuk meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor yang dianggarkan bernilai US$3 trilion di peringkat global,” katanya.

Beliau turut berharap Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemacu utama dalam memperkukuh sektor pelancongan, dengan menekankan segmen ekopelancongan, agropelancongan, pelancongan Islamik dan pelancongan budaya bagi menarik pelaburan serta meningkatkan kedatangan pelancong berkualiti ke Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata usaha berterusan kerajaan membantu rakyat kini diterjemahkan dalam lonjakan peluang pekerjaan apabila buat pertama kali sejak 2018 permintaan tenaga buruh sektor swasta melebihi 9.01 juta, menandakan pemulihan kukuh ekonomi selepas melalui situasi ketidaktentuan politik dan kesan pandemik COVID-19. 

“Ini adalah asas keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi Malaysia yang kembali mengukuh. Saya yakin, Malaysia kini berada di landasan kukuh menuju pertumbuhan mampan dan inklusif. 

“Kejayaan ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat agar manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Bersama, kita pacu ekonomi negara ke masa depan yang lebih gemilang. Insya-Allah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan