HULU LANGAT, 17 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) berharap Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Pendidikan 1996 untuk mewajibkan pendidikan hingga peringkat sekolah menengah dapat dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata perkara itu kini di fasa sesi libat urus bagi meminda akta tersebut.
“Sesi libat urus masih diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan semua pihak bersama dengan kita bagi menyokong pindaan akta ini.
“Sekarang tengah tunggu giliran, harapan kita adalah pada sesi ini kalau tidak pada sesi Parlimen akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, Semenyih di sini sempena pembukaan hari pertama persekolahan sesi 2025/2026, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada 19 Dis lepas, Fadhlina dilapor berkata RUU untuk meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan pendidikan hingga peringkat sekolah menengah dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Feb 2025 dan perkara itu juga telah selesai proses semakan di peringkat Jabatan Peguam Negara.
Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan 4.93 juta pelajar di seluruh negara memulakan sesi persekolahan 2025/2026 meliputi 2.83 juta murid sekolah rendah dan 2.09 juta pelajar sekolah menengah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial