AM

Ahli AKRAB Berperanan Sebarkan Dasar Kerajaan Dengan Lebih Tepat

19/02/2025 09:32 PM

REMBAU, 19 Feb (Bernama) -- Semua Ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) diharap memainkan peranan bagi membentuk kesedaran masyarakat lebih mendalam mengenai aspirasi Malaysia MADANI.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata dengan pendekatan snowball effect, impak positif dapat diperluas kepada masyarakat secara berkesan khususnya dalam usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Beliau berkata ahli AKRAB bertanggungjawab sebagai ejen penggerak perubahan dalam menyampaikan maklumat lebih tepat mengenai dasar kerajaan kepada rakan sekerja, keluarga dan masyarakat. 

"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan terus memperkukuh peranan AKRAB sebagai ejen penggerak perubahan selaras dengan nilai Malaysia MADANI. 

"Hingga kini, sebanyak 24,732 ahli AKRAB telah ditauliahkan oleh JPA, berperanan sebagai sumber rujukan utama dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai dasar kerajaan dan aspirasi Malaysia MADANI," katanya pada Majlis Peluncuran Program Citra Negara MADANI 2025 di Dewan Latihan Kenegaraan Ulu Sepri di sini hari ini.

Program Citra Negara MADANI 2025 bertemakan "Seiring Sepakat Menjayakan Malaysia MADANI" itu menekankan peranan ahli AKRAB dalam memperkukuh kefahaman pegawai awam dan masyarakat terhadap aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau berkata bagi memastikan keberkesanan program itu, sebanyak 10 siri program diadakan, iaitu enam siri bagi ahli AKRAB manakala empat siri kepada penyelaras AKRAB.

Mohd Shaiful berkata inisiatif berkenaan ialah kesinambungan daripada Himpunan Aspirasi AKRAB bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun tahun lepas.

"Langkah ini selari dengan nilai MADANI di bawah rukun kemampanan, iaitu menitikberatkan keseimbangan pembangunan negara serta perkhidmatan awam berdaya saing dan berimpak tinggi.

"Dengan pelaksanaan Program Citra Negara MADANI 2025 ini, ahli AKRAB sebagai ejen penggerak perubahan diyakini mampu memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap dasar kerajaan, membentuk jati diri nasional yang kukuh dan menangani persepsi negatif dengan fakta sahih," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan keberkesanan penyampaian maklumat, program itu dilaksanakan melalui kolaborasi strategik melibatkan penyertaan pelbagai agensi antaranya Majlis AKRAB Kebangsaan (MAK), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Unit Pantau MADANI (PMU) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pelaksanaan program melibatkan enam zon iaitu Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Sarawak, Zon Utara, dan Zon Sabah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan