AM

Tindakan Tegas Ke Atas Peniaga Jual Semula Tapak Bazar Ramadan - MBAS

20/02/2025 04:52 PM

ALOR SETAR, 20 Feb (Bernama) -- Peniaga di bandar raya ini yang menjual semula tapak bazar Ramadan kepada pihak lain akan berdepan tindakan tegas termasuk dikenakan kompaun dan disenarai hitam.

Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya berkata ini termasuk membatalkan tapak jualan mereka dan membukanya untuk disewa kepada peniaga lain.

Beliau berkata anggota penguat kuasa akan menjalankan pemantauan terhadap aktiviti ini di semua tapak jualan seliaan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berdasarkan sistem penandaan kod bar di samping peniaga turut diberikan pas dengan pemeriksaan dilakukan secara berkala.

"Selain itu, di setiap lokasi bazar, kita ada penyelia, dan kita juga ada ahli majlis berdasarkan zon yang akan membantu memantau perkara ini," katanya kepada pemberita selepas program taklimat kepada peniaga bazar Ramadan 2025, di sini hari ini.

Abdul Gafar berkata peniaga bazar Ramadan diingatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk tidak menggajikan pekerja warga asing bagi mengelakkan tindakan.

Beliau berkata toleransi dan kerjasama antara peniaga serta agensi yang terbabit termasuk pihak kesihatan dan keselamatan turut dituntut bagi memastikan penganjuran bazar Ramadan berjalan lancar, selain tidak mengubah susun atur gerai yang ditetapkan supaya tidak mengganggu laluan orang ramai.

"Pada tahun ini, MBAS menyediakan 942 tapak jualan bazar Ramadan di 15 lokasi di bandar raya ini dan Pokok Sena," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan