AM

PLKN 3.0: Kumpulan Pertama Penuhi Aspirasi Kerajaan

21/02/2025 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Kumpulan pertama pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 menunjukkan prestasi memberangsangkan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan pemimpin muda yang berwibawa.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menegaskan tahap keyakinan diri yang tinggi dalam kalangan pelatih memberi jaminan bahawa program tersebut berada di landasan tepat untuk mencapai matlamatnya.

“Ini memberikan kita keyakinan apabila kita laksanakan sepenuhnya tahun depan dengan semua kem sudah bersedia (menerima pelatih PLKN) untuk fasa kedua,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama pelatih PLKN 3.0 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini. 

Sesi tersebut turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Mejar Jen Datuk Ya'cob Samiran.

Johari berkata pihaknya melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan di Parlimen akan memantau program tersebut dan beliau turut memberikan sokongan serta dorongan supaya PLKN diteruskan dengan cemerlang pada masa hadapan.

Mengulas mengenai pelatih PLKN siri pertama, beliau berkata pelatih yang tamat latihan pada 25 Feb ini akan memulakan perjalanan hidup dengan ilmu keyakinan diri dan disiplin ketenteraan yang dipelajari sepanjang program 45 hari itu.

“Perkara penting adalah ilmu bagaimana yakinkan diri dalam kehidupan dan disiplin ketenteraan ini dapat menjadi pedoman serta panduan hidup mereka,” katanya.

Terdahulu, Johari menyampaikan syarahan khas kepada pelatih PLKN dengan menekankan kepentingan patriotisme, peranan belia dalam pembangunan negara dan nilai kepimpinan yang berintegriti.

Program syarahan khas tersebut adalah sebahagian daripada usaha Parlimen Malaysia mendekati golongan muda serta membentuk generasi yang celik demokrasi dan prihatin terhadap pembangunan negara, selain usaha membangun kepimpinan generasi baharu Parlimen Malaysia termasuk inisiatif Parlimen Belia dan Sekolah Parlimen.

PLKN 3.0 merupakan versi terkini yang diperkenalkan semula sebagai inisiatif pembangunan modal insan yang lebih holistik dengan konsep dan format baharu yang bersifat komprehensif dan transformatif.

Sebanyak 116 pelatih terdiri daripada 73 lelaki dan 43 perempuan menyertai PLKN 3.0 siri 1/2025 secara sukarela selama 45 hari bermula 12 Jan hingga 25 Feb di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.

PLKN 3.0 Siri 2/2025 akan dilaksanakan pada 11 Mei hingga 24 Jun manakala PLKN 3.0 Siri 3/2025 akan dilaksanakan pada 7 Sept hingga 21 Okt iaitu di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan