JOHOR BAHRU, 22 Feb (Bernama) -- Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) melancarkan Podcast JOHORfm untuk meningkatkan kualiti kandungan penyiaran agensi itu bagi menepati halwa telinga komuniti digital masa kini.
Penerbit Podcast JOHORfm Md Saufi Md Nawawi berkata audio siar yang dikenali sebagai "Kawan Dengo" yang akan bersiaran dalam masa terdekat itu bakal menampilkan tetamu jemputan terdiri daripada pelbagai latar belakang.
"Audio siar ini akan dikongsikan di semua platform media sosial RTM supaya komuniti digital mudah mendapatkan maklumat terkini termasuk hiburan selain pendengar bakal memperoleh manfaat daripada kisah dan sumber inspirasi bersama tetamu yang kita tampilkan.
"Pada peringkat awal, kita akan siarkan audio siar ini seminggu sekali pada waktu pagi. Pelbagai topik kita kupas secara meluas antaranya kisah kehidupan yang memberi inspirasi kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran audio siar itu bersempena dengan Majlis Perasmian Temasya 60 Tahun JOHORfm di RTM Johor di sini hari ini.
Program dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi Penyiaran) RTM Ismail Sulaiman itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Program Radio RTM Saifuzzaman Yusop.
Sementara itu, Saifuzzaman berharap audio siar "Kawan Dengo" itu dapat memberi pengalaman baharu kepada seluruh pendengar di Johor atau di tempat lain yang mahu mengetahui perkembagan terkini mengenai negeri di selatan tanah air itu.
Terdahulu, Ismail dalam ucapannya berkata JOHORfm telah memperluas jalinan strategik pihaknya pada peringkat ASEAN menerusi kerjasama dengan Radio Republik Indonesia, Tanjung Pinang sejajar dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial