BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM

JPS Semak Kesesuaian Akta 298, Pertimbang Empangan Jadi Kawasan Riadah

26/02/2025 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menyemak  kesesuaian Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) bagi mempertimbangkan agar kawasan empangan tertentu boleh dibangunkan sebagai lokasi riadah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ketika ini, empangan diwartakan sebagai kawasan terkawal yang tidak boleh dimasuki orang awam, namun kerajaan melihat keperluan untuk memperkasakan lembangan sungai bersepadu dan melibatkan komuniti setempat dalam menjaga kawasan itu. 

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat syarat yang akan ditetapkan untuk menjadikan empangan sebagai kawasan riadah, termasuklah tiada aktiviti mandi-manda ataupun memancing bagi mengelak berlaku pencemaran sungai.

“Kawasan empangan merupakan kawasan yang terpelihara dan terlindung, tetapi pada masa sama kita mahu libatkan komuniti setempat jaga kawasan itu. Kalau nak jaga, kita buka tempat riadah... tempat berkelah boleh buat khemah dan sebagainya, jadi adalah aktiviti sosioekonomi di kawasan itu.

“Pada masa sama ada jawatankuasa yang akan menjaga kawasan terbabit untuk memastikan kawasan terpelihara,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) di sini hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata perkara berkenaan merupakan antara yang dipersetujui dalam mesyuarat itu. 

Sehubungan itu, beliau berkata sebuah jawatankuasa dipengerusikan JPS akan ditubuhkan bagi melihat kesesuaian cadangan berkenaan yang akan turut melibatkan input pihak berkaitan di peringkat negeri.

Beliau berkata JKKAS juga bersetuju supaya kerajaan negeri menetapkan pelaksanaan aktiviti menyahenap cemar tangki septik individu secara berkala, khususnya bagi premis kerajaan negeri dan agensi kerajaan negeri bagi mengurangkan beban pencemaran sungai.

Beliau berkata JKKAS telah menggalakkan penggunaan kaedah inovatif iaitu sistem Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) Environmental Dredging System (NEDS) bagi mengurangkan endapan tercemar tanpa memberi impak besar terhadap ekosistem akuatik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan