DUNIA

UNRWA Beri Bantuan Makanan Kepada 2 Juta Penduduk Gaza Sejak Gencatan Senjata

28/02/2025 10:03 PM

GAZA, 28 Feb (Bernama-WAM) -- Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengumumkan sejak gencatan senjata di Gaza pada 19 Dis 2024, agensi itu mencapai kemajuan yang tiada tandingan dalam menyediakan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat yang memerlukan di sana.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), UNRWA melalui koordinasi erat dengan rakan kemanusiaan lain, menyediakan bantuan makanan kepada dua juta orang atau lebih 90 peratus daripada penduduk, turut membantu untuk meningkatkan keselamatan makanan.

Dalam aspek kesihatan, UNRWA memulihkan akses kepada perkhidmatan kepada hampir 180,000 orang di Khan Younis, Rafah dan Gaza dengan membuka semula pusat kesihatan.

Pasukan UNRWA membantu lebih setengah juta orang dengan bantuan selimut, tilam, tikar, pakaian, peralatan memasak dan kain terpal untuk melindungi mereka daripada hujan. Selain itu, kira-kira 64,000 individu menerima khemah.

Agensi itu menekankan kepentingan perpaduan global yang berterusan untuk memastikan penduduk Gaza menerima sokongan yang diperlukan untuk membina semula kehidupan mereka.

Sami Rose, Pemangku Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Gaza yang berada di satu daripada pusat kesihatan agensi di selatan Gaza berkata ini mencerminkan komitmen UNRWA untuk menyokong keluarga di Gaza semasa krisis kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Walaupun menghadapi cabaran politik dan logistik, UNRWA meneruskan misinya untuk menyediakan perkhidmatan penting kepada keluarga yang memerlukannya sekarang, lebih daripada sebelumnya.

Buat pertama kalinya sejak konflik bermula, UNRWA mampu menyediakan bantuan dan perkhidmatan secara besar-besaran, mengurangkan penderitaan dua juta orang.

Beliau berkata gencatan senjata mesti diteruskan untuk membolehkan semua agensi kemanusiaan meneruskan usaha ini dan UNRWA mesti disokong untuk meneruskan kerjanya di seluruh Gaza.

-- BERNAMA-WAM


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan