POLITIK

MCA Komited Bertanding Pilihan Raya, Rebut Semula Kerusi – Wee

01/03/2025 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- MCA komited untuk bertanding dalam semua pilihan raya negeri dan umum akan datang, dengan matlamat utama untuk memenangi lebih banyak kerusi, kata Presiden parti itu Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata sekiranya MCA gagal memenangi sebarang kerusi selama lima tahun berturut-turut, parti berkenaan berisiko hilang daripada perhatian rakyat dan tidak mampu lagi melaksanakan idealismenya.

"Dengan pilihan raya penting di Sabah, Melaka dan Johor yang semakin hampir, diikuti pilihan raya umum akan datang, saya menggesa semua ahli untuk menumpukan masa, tenaga dan sumber mereka bagi membuat persiapan menghadapi pilihan raya," katanya pada sambutan ulang tahun ke-76 parti itu di Wisma MCA di sini hari ini.

Beliau berkata MCA kini hanya memegang dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

"Itulah sebabnya saya merayu kepada semua agar membantu parti ini mendapatkan semula beberapa kerusi dengan bermaruah. Memulihkan kembali maruah kita melalui usaha sendiri ialah perkara yang paling penting," katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, Wee berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam manakala Datuk Seri Wee Jeck Seng mengekalkan kerusi Tanjung Piai.

Bagi kerusi DUN, MCA memenangi Chenderiang, Machap Jaya, Kelebang, Bekok, Yong Peng, Paloh, dan Pekan Nanas.

Wee turut menekankan peranan MCA dalam Kerajaan Perpaduan dengan menyatakan parti berkenaan bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang, memastikan akauntabiliti kerajaan dengan menyokong dasar yang memberi manfaat kepada rakyat serta menentang sebarang keputusan yang dianggap membebankan.

Sementara itu, dalam sidang media, Wee berkata kepimpinan negeri dan bahagian MCA diminta untuk mengemukakan cadangan calon lebih awal bagi kawasan yang ingin ditandingi bagi memudahkan pemilihan oleh peringkat tertinggi.

Selain itu, beliau juga menempelak tindakan pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan dan mengeruhkan situasi antara MCA dan UMNO dengan membuat kenyataan agar parti didominasi masyarakat Cina itu tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. 

“Saya bertanyakan kepada Pengerusi MCA Sabah … tidak ada (perkara sebegitu berlaku). Jadi, jangan menyamar sebagai pemimpin (UMNO). Saya sendiri sudah menghubungi Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, beliau kata (kenyataan) itu bukan mereka (UMNO) keluarkan. 

“Jadi, kita tidak akan melayan sebarang analisis politik yang mendakwa perkara itu dan ini. Biar mereka buat analisis, saya tidak menyekat hak mereka. Masing-masing ada percaturan. Kita dalam politik dah lama, macam mana kita nak bertanding dan rakan kerjasama itu akan dimuktamadkan selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan